Kesihatan Terkini Zamani Membimbangkan

Umum mengetahui, keadaan fizikal penyanyi Zamani yang semakin membongkok akibat penyakit scoliosis atau tulang belakang bengkok memerlukan pembedahan dengan kadar segera.

Memetik Harian Metro, Zamani berkongsikan keadaannya buat masa ini berada di tahap agak teruk dan dia perlu makan ubat tahan sakit. Katanya lagi, dia kini menunggu proses pembedahan yang dijangka bakal dilakukan awal November depan.

“Kesihatan saya buat masa ini pada tahap agak teruk. Tulang belakang dah mencucuk tulang rusuk dan menghimpit jantung. Jadi saya perlukan pembedahan. Sekarang ini 24 jam saya sakit dan perlu makan ubat tahan sakit. Memang tak ada ubat lain.

“Sakit pula menyerang tak kira waktu. Kalau kena tu, tulang rasa macam ditarik-tarik. Kadang ketika tidur pun sakit boleh datang dan menjadi kejang.

“Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sakit saya ini menyerang dengan teruk. Sebab ketika itu saya duduk di rumah saja dan tak bekerja,” katanya.

Dalam pada itu, Zamani berkata sebelum ini dia dimaklumkan peluang untuk sembuh tiada namun selepas membuat ujian imbasan, pihak hospital memberi jaminan peluang untuk sembuh tinggi.

“Dulu saya dimaklumkan peluang untuk sembuh tak ada. Rupanya informasi itu tak tepat. Selepas saya buat semua ujian imbasan, doktor maklumkan peluang nak sembuh tinggi. Namun, tidaklah boleh kembali kepada normal.

“Sekarang ini sudah ada dua pusat perubatan dalam senarai untuk saya buat pembedahan. Doktor kata Oktober ini dah boleh buat, cuma saya ada beberapa komitmen kerja perlu diselesaikan dulu. Jadi, insya-Allah mungkin awal November.

“Dari segi kos pembedahan dianggarkan lebih RM100,000. Pusat perubatan di Ampang anggaran dalam RM80,000 hingga RM100,000. Yang lagi satu tu mungkin murah sikit,” katanya.

Kata Zamani lagi, pembedahan itu dijangka mengambil masa lapan hingga 10 jam serta berharap segalanya berjalan dengan lancar.

“Saya bukan takut nak dibedah, tapi berdebar. Kalau nak tahu pembedahan adalah pilihan terakhir saya. Sebelum ini saya dah pergi banyak tempat dan rawatan alternatif lain.

“Difahamkan pembedahan ini memakan masa lapan hingga 10 jam. Nak sembuh pula ia bergantung pada badan saya. Kalau semuanya okay, selepas dua minggu dah boleh memandu selain perlu menjalani fisioterapi,” katanya.

Berjaya Kumpul RM120,000, Pak Nil Jumpa Zamani Serah Sumbangan


Usaha pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi mencari dana membantu membiayai kos pembedahan penyanyi Zamani Slam berjaya mengumpul lebih RM120,000 hasil sumbangan orang ramai.

Menerusi perkongsian terbaru, Pak Nil telah bertemu dengan Zamani untuk menyerahkan wang sumbangan tersebut untuk melakukan pembedahan bagi membetulkan tulang belakang.

“Amanah sudah Pak Nil sempurnakan. Terima kasih atas kepercayaan anda semua,” tulisnya.

Sementara itu, Zamani juga ada memuat naik satu perkongsian meluahkan rasa terharu dengan sumbangan diterimanya itu serta mengucapkan terima kasih kepada Pak Nil serta semua pihak yang menyumbang.

“Syukur ke hadrat illahi dgn segala nikmat kurniaanNya. Alhamdulillah saya sudah terima semua jumlah keseluruhannya.

“Terima kasih terutamanya kepada Pak Nil dan juga kepada semua yg menyumbang serta yang tak henti mendoakan saya dan saya doakan segala kebaikan dan kesihatan yang baik buat anda semua. Hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya,” tulisnya.

Menerusi pertemuan itu, Zamani berkata dia mengakui takut untuk melakukan pembedahan berkenaan namun akur kerana penyakit dihadapinya semakin serius.

“Kalau diikutkan saya tak mahu buat pembedahan tapi tidak ada acara lain melainkan ubat tahan sakit. Sekarang saya berada semakin tidak selesa sehinggakan sukar untuk tidur malam. Sekarang tulang semakin membengkok dan menghimpit rusuk kiri,” katanya.

Terdahulu, Zamani berkata dia perlu menjalani pembedahan dengan kadar segera berikutan keadaan fizikalnya semakin membongkok akibat penyakit scoliosis atau tulang belakang bengkok.  Katanya, keadaan tulangnya itu menyukarkan dia untuk melakukan aktiviti seharian dan bekerja.

sumber: rotikaya

 

Klik sini Untuk Claim Free Shipping Shopee https://shp.ee/d5pvxcf

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*