Bulan lalu, hangat diperkatakan artikel dari sebuah portal mendedahkan pelakon Datuk Adi Putra memiliki kekayaan sebanyak AS$5 juta (RM21.9 juta).
Memetik mStar Online, pelakon berusia 41 tahun itu berkata beliau enggan digelar sebagai seorang jutawan meskipun sudah berjaya dalam dunia perniagaan.
“Wang ringgit samalah seperti sehelai kertas. Kalau dikoyakkan ia sudah tidak bernilai. Bukan saya yang jutawan tapi Allah ada jutawan sebenarnya.
“Kalau ada yang kata saya jutawan, saya berterima kasih. Namun saya minta janganlah panggil saya dengan gelaran sebegitu,” katanya.
Mengulas mengenai filem Mat Kilau yang dilakonkannya kini meraih kutipan tertinggi, Adi berkata ianya satu lembaran baru dalam industri perfileman negara.
Lakonannya dalam filem tersebut mendapat pujian, Adi mengakui bimbang sekiranya hanyut dengan pujian dan sentiasa berpegang dengan lima rukun Islam sebagai pelindung diri dari sifat riyak.
“Setiap pujian itu ada ujiannya juga. Saya takut lupa diri apabila filem ini menjadi fenomena. Justeru apa yang ada sekarang ini amat saya syukuri.
“Rukun Islam sentiasa menjadi prinsip hidupa saya kerana di dalamnya sudah ada syahadah sebagai satu pengakuan kita sebagai seorang Muslim. Kalau berpegang kepadanya, Allah akan sentiasa menjaga kita,” katanya.
Adi Putra Akui Terima Bayaran Paling Mahal Untuk Filem Mat Kilau
Memegang watak utama dalam filem Mat Kilau, pelakon Datuk Adi Putramengakui menerima bayaran paling mahal.
Memetik Utusan Online, bagaimanapun Adi lebih selesa mengunci mulut untuk mendedahkan jumlah sebenar bayaran yang diterima.
“Ya memang benar (bayaran mahal). Sebab ia memerlukan kudrat dan segala-galanya. Tetapi bajet ini bukan satu ukuran kalau nak hasil yang lebih baik, tentulah sudah semestinya memerlukan peruntukan yang lebih.
“Ia bagi mendapatkan satu kualiti yang lebih mantap dan padu. Tentang berapa jumlahnya? Tak apalah, biar Allah saja yang tahu,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai isu kutipan cukai hiburan yang sedang hangat diperkatakan, Adi berkata mereka yang layak bersuara adalah penerbit filem.
“Tinggi atau rendah kutipan cukai itu, ia dari sudut perniagaan dan saya tak boleh sentuh.Berbalik kepada empunya. Tapi kalau nak cakap pasal hal ini, rasanya lebih baik kita naratif dari sudut positif.
“Ia supaya penyatuan kita ini akan mara bila kita bersama-sama ke arah kejayaan. Kritikan akan jadi isu dan itu adalah lumrah sebab kalau tak ada yang menyuarakan, mungkin tidak ada yang sedia maklum.
“Tapi itulah yang kita inginkan. Keprihatinan agar ada berlaku perubahan pada masa hadapan. Saya faham bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang,” katanya.
Dalam pada itu, Adi berkata beliau turut teruja jika benar sekual filem Mat Kilau akan dihasilkan serta menyerahkan perkara itu kepada pihak penerbit.
“Kalaulah ada, Alhamdulillah. Saya serahkan kepada penerbit. Saya ini cuma barisan pelakon saja. Kita sama-sama doakan andai benar ada sekuel,” katanya.
Leave a Reply