Ada Yang Tegur, Umur Dah Tua Bila Nak Bertaubat. Ini Respond Balas Jaafar Onn

Selebriti otai, Jaafar Onn mengakui keperibadian semula jadinya yang lemah lembutlah menjadi faktor utama kekal relevan selama hampir 50 tahun dalam dunia seni.

Jaafar Onn atau nama sebenarnya, Jaafar Onn Awang berkata, jadi tiada sebab untuk dirinya mengubah pemberian Ilahi hanya demi memuaskan kehendak atau hati masyarakat.

“Ada orang cakap termasuk keluarga terdekat, ‘dah usia 70 tahun tak reti nak taubat atau berubah ke’.

“Nak saya buat macam mana, dah memang saya begini takkan saya nak hidup berpura-pura jadi keras demi memuaskan hati orang sekeliling.

“Sekurang-kurangnya, saya selembut-lembut saya, tak pernah pun menyusahkan orang minta sedekah tadah tangan. Alhamdulillah bukan nak cakap besar, pada usia 70 tahun, Allah masih beri saya rezeki kesihatan yang baik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Ujar pelakon yang cukup sinonim dengan drama Cili Padi itu, segala kritikan yang dilemparkan orang sekeliling tidak menjadi kudis buat dirinya.

“Orang sibuk kutuk saya jalan menampi padi usia pun dah makin lanjut, saya nak tanya, sempurnakah kalian? Nak cakap apa pun, cakaplah yang penting hanya saya dan Allah sahaja diri saya bagaimana.

“Banyak mulut jahat tapi saya percaya mulut jahat, hati tak semestinya jahat juga. Macam saya, orang fikir mulut saya jahat, tapi hati saya kadang-kadang tak sampai hati.

“Zaman sekarang ini, dengan kemajuan teknologi dan dunia media sosial, macam-macam orang boleh cakap itu ini. Nak cakap buruk tentang saya, tak jadi kudis pun. Selama 50 tahun dalam industri, rezeki saya tetap ada dan orang masih kenal,” jelasnya.

Mengulas tentang perkembangan seni terbaharu, Jaafar bakal terlibat dalam sebuah sitkom terbitan RTM berjudul Apartmen Putra.

“Pengarah (Acu) nak saya bawa watak lelaki lembut siap berselendang bagai. Tengoklah rezeki saya. Bukan saya nak promosi jadi lelaki lembut tapi inilah namanya rezeki walaupun dah usia 70 tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Jaafar juga turut mengenang pengalaman bekerja bawah arahan sutradara handalan, Allahyarham Mamat Khalid menerusi drama 18 Puasa Di Kampong Pisang yang sepatutnya bersambung untuk projek selanjutnya, 19 Puasa.

“Macam dulu berlakon bawah arahan Allahyarham Mamat Khalid untuk 18 Puasa, saya jadi diri sendiri. Mamat panggil saya dengan gelaran ‘Ikonku’.

“Saya masih ingat waktu penggambaran, saya bawa baju bunga-bunga satu beg tapi Mamat nak saya pakai baju hitam untuk karakter yang saya jayakan iaitu, Tyson 2.

“Sepatutnya 19 Puasa bawah arahan anak Mamat (Amen Khalid) menjalani penggambaran melibatkan watak Tyson 2. Tapi sekarang masih tiada khabar berita tentang projek tersebut. Al-fatihah buat Allahyarham Mamat Khalid,” katanya.

Sumber – K! ONLINE

Klik sini Untuk Claim Free Shipping Shopee https://shp.ee/d5pvxcf

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*