Shah Alam ‘Lumpuh’, Semua Laluan Masuk Ditutup. PLUS Keluar Kenyataan Jalan Mana Boleh Lalu Untuk Ke Utara Dan Selatan

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sudah menutup sepenuhnya Plaza Tol Shah Alam dan jalan susur persimpangannya mulai 2 petang hari ini, akibat banjir susulan hujan lebat sejak 24 jam lalu.

Setakat ini, PLUS memaklumkan bahawa satu-satu jalan keluar yang dibuka untuk dilalui ialah di Plaza Tol Subang dan Seafield untuk laluan ke arah selatan dan utara, sementara laluan masuk di Bukit Raja serta laluan Setia Alam ramp ke Shah Alam juga ditutup.

Pemandu yang dapat melalui jalan antara Setia Alam ke Shah Alam dan Subang menghalaShah Alam/Elite dikehendaki membuat pusingan U kecemasan melalui akses sementara yang disediakan oleh PLUS.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, kakitangan PLUS sedang bekerja untuk menguruskan keadaan dan membantu melancarkan aliran trafik.

“Kami kesal dengan kesulitan yang timbul akibat banjir ini susulan hujan lebat berterusan dalam tempoh 24 jam lepas.

“Plaza tol PLUS akan dibuka semula sebaik sahaja kami mengesahkan ia selamat,” kata Zakaria dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihati pengguna jalan raya supaya mematuhi papan tanda amaran dan arahan pihak berkuasa di lokasi.

PLUS juga telah memaklumkan kepada semua pengguna lebuh raya melalui Sistem Pemesejan Berubah (VMS) mengenai penutupan itu dan akan menyebarkan maklumat lanjut sebaik sahaja ada, menurut kenyataan itu.

Maklumat yang dikemas kini juga akan dimuat naik di laman web PLUS www.plus.com.my dan platform media sosial termasuk Facebook dan Twitter PLUS Malaysia, katanya.

9 laluan di Shah Alam ditutup

KEADAAN Plaza Tol Shah Alam akibat dilanda banjir.

Sembilan laluan jalan raya di bawah pentadbirannya ditutup akibat banjir ekoran hujan lebat sejak dua hari lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, antara lokasinya adalah laluan jalan di Persiaran Setia Alam menghala ke Meru dan masuk ke Shah Alam.

“Jalan raya di kedua-dua arah dinaiki air dan hanya kenderaan berat sahaja boleh melalui jalan banjir.

“Begitu juga Persiaran Jubli Perak Seksyen 19 terdapat pokok tumbang. Bulatan Melawati ke Bulatan Jubli Perak laluan tidak boleh dilalui.

“Bulatan Megawati arah ke Seksyen 19 juga tidak boleh dilalui. Lampu Isyarat Persiaran Jubli Perak tidak boleh dilalui dan jalan dilencongkan ke Sri Muda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramsay berkata, jalan Persiaran Permai menghala ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) hanya boleh dilalui satu lorong sahaja oleh kenderaan berat sahaja.

“Persiaran Sukan di hadapan MSU di Seksyen 13 juga dinaiki air juga tidak boleh dilalui.

“Di kilometer 14.6 Lebuhraya Persekutuan dari Shah Alam ke Kuala Lumpur jalan tidak boleh dilalui. Hanya lorong paling kanan boleh dilalui oleh kenderaan berat.

“Lebuhraya LKSA dari arah susur Bulatan Jubli Perak ke Plaza Tol Seri Muda juga tidak boleh dilalui,” katanya.

Beliau berkata, Kilometer 8.5 Lebuhraya NKVE (Plaza Tol Shah Alam) dari kedua-dua arah dinaiki air dan tidak boleh dilalui.

“Begitu juga Jalan Bukit Kemuning dari Persiaran Kuala Selangor ke Sri Muda jalan tidak boleh dilalui. Selain itu, Lebuhraya ELITE kedua-dua arah juga tidak boleh dilalui,” katanya.

Sumber : HMETRO ONLINE

Klik sini Untuk Claim Free Shipping Shopee https://shp.ee/d5pvxcf

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*