
Usahawan kontroversi, Muhammad Sajjat Kamaruddin atau Sajat memberitahu secara terbuka bahawa dirinya berada di Johor selama ini.
Katanya melalui live di Instagram miliknya sebentar tadi bahawa dia tidak keluar dari negara sebaliknya berada di Danga Bay, Johor sahaja.
‘Mana ada saya kat luar negara, saya ada di Johor saja, Danga Bay, saya tidak tahu hendak cakap macam mana lagi, saya ada di Malaysia, tidak kemana-mana,’ jelasnya.
Sajat menjawab pertanyaan pengikutnya yang bertanya lokasi tempatnya bersembunyi selama ini.
Terdahulu, pada 23 Februari lalu, usahawan kosmetik itu dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam kerana tidak hadir sebutan semula kes berhubung menghina Islam.
Kosmo! pada 26 April lalu melaporkan Nur Sajat berkemungkinan berada di luar negara selepas mengetahui Polis Selangor bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk mengesannya
‘Ini bukan kes berat, pulanglah Sajat’
Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta usahawan kosmetik kontroversi, Nur Sajat untuk memberi kerjasama bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan menukar maklumat dalam MyKad.
Sajat atau nama penuhnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman merupakan saksi bagi kes berkenaan di Mahkamah Ampang Jaya. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun keseksaan kerana menipu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, pihaknya meminta usahawan kosmetik berkenaan untuk memberi kerjasama dalam kes tersebut.
“Sajat dinasihatkan untuk tampil bagi membolehkan polis merakam keterangannya.
“Ini bukan kes berat, kita hanya minta dia memberi keterangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sehingga kini, Sajat masih menghilangkan diri sebaik waran tangkap dikeluarkan kepadanya oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 23 Februari lalu.
Waran tangkap itu dikeluarkan ekoran usahawan berkenaan tidak hadir sebutan semula kes menghina Islam tanpa sebarang sebab.
Sementara itu, Sajat menerusi satu video di akaun Facebooknya semalam menegaskan, dirinya bukan pelarian dan kes membabitkan dirinya menjadi sensasi hanya kerana dia seorang selebriti.
“Tidak perlu asyik nak mempersoalkan kenapa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kejar, minta tolong polis tangkapkan, pasal kes tak nak pergi JAIS sahaja.
“Sebab aku ini retis (artis), pasal itu jadi kecoh,” katanya.
Sumber : KOSMO ONLINE
Leave a Reply