
Bapa kepada penyanyi dan selebriti usahawan, Siti Sarah, Raisuddin Hamzah, turut bersedih dan bimbang dengan keadaan anaknya yang kini masih belum sedar dan berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras sejak semalam.
Menurut pengurus penyanyi tersebut, Nana Mohd Rom, bagaimanapun Raisuddin meminta maaf kerana enggan ditemu bual oleh mana-mana pihak media buat masa ini.
“Kami di pihak pengurusan sedia maklum akan keadaan Raisuddin yang juga tentunya sedang bersedih dengan keadaan anaknya.
“Dia ada memaklumkan tentang perkara itu kepada kami, tetapi minta semua pihak terutama media untuk menghormati keputusannya enggan ditemu bual buat masa sekarang.
“Cukuplah anda semua tahu bahawa dia sebagai bapa tentunya teramat sedih dengan keadaan Sarah dan mengharapkan yang sama, agar ada perkembangan yang positif dan mahu menyaksikan Sarah sihat seperti sedia kala,”katanya.
Nana berkata demikian semasa dihubungi Utusan Malaysia petang tadi.
‘Siti Sarah ditiarapkan, ada sedikit darah beku di paru-paru’
“Sarah sudah ditiarapkan dengan harapan oksigen dan paru-paru boleh bekerjasama.”
Demikian kata Shuib atau nama lengkapnya, Shahmira Muhamad, 37, berkenaan kondisi terkini isterinya, Siti Sarah Raisuddin yang masih lagi bertarung nyawa dengan virus Covid-19.
Hampir 30 jam koma sejak dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sejak semalam, Shuib memberitahu, selain bahagian paru-paru yang terkesan, jantung Sarah juga berada dalam keadaan lemah.
Ujarnya lagi, harapan mereka sekarang agar paru-paru boleh kembali normal dan bekalkan oksigen dalam badan.
“Memandangkan Sarah kena jangkitan Covid-19, paru-paru dia banyak terkesan. Jantung pun sudah lemah. Mungkin sepanjang pembedahan mengeluarkan bayi semalam, jantung sudah banyak bekerja.
“Difahamkan juga, ada sedikit darah beku di paru-paru. Doktor kata, buat masa sekarang tak boleh apa-apa lagi sebab semalam baru lepas menjalani pembedahan,” katanya.
Dalam pada itu, Shuib meluahkan rasa terharu apabila setiap hari mendapat mesej dan kiriman gambar anak-anak tahfiz dan orang persendirian yang membaca Yasin dan doa selamat buat permaisuri hatinya.
“Saya terlalu terharu apabila dalam keadaan sekarang, ada saja orang hantar gambar anak-anak tahfiz baca Yasin.
“Terima kasih banyak sebab mendoakan Sarah. Ia satu rahmat terlalu besar untuk kami,” ujarnya.
Sumber : Utusan Online / Kosmo Online
Leave a Reply