Hari Terakhir Bersama PDRM, Ini Kenyataan Terakhir KPN Tan Sri Abdul Hamid Bador Sebelum Bersara, Memang Deep

“Ingat (malaikat) Raqib dan Atib akan mencatat setiap perbuatan kita untuk dihisab.”

Peringatan itu menjadi amanat terakhir Tan Sri Abdul Hamid Bador yang mengakhiri perkhidmatannya sebagai Ketua Polis Negara (KPN) ke-12 hari ini, kepada seluruh anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, setiap pegawai polis perlu melaksanakan tugas dengan penuh berintegriti, amanah dan berpegang kepada ‘amar makruf nahi dan mungkar’ (menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah melakukan kejahatan) dalam menjalankan perkhidmatan kepada rakyat.

“Ya, kita tak mungkin akan memuaskan hari semua 32 juta rakyat Malaysia tetapi kita boleh meningkatkan kualiti perkhidmatan dengan melaksanakan tugas dengan berintegriti serta sentiasa berpegang kepada amar makruf dan nahi mungkar .

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, mengakhiri perkhidmatan hari ini selepas empat dekad bersama PDRM. - NSTP/AIZUDDIN SAAD

“Ingatlah malaikat Raqib dan Atid di kiri dan kanan kita akan sentiasa ada untuk menghisab perbuatan kita di alam sana nanti,” katanya.

Amanat itu disiarkan menerusi Facebook PDRM selepas menyerahkan tugas KPN kepada Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani di Mess Pegawai, Bukit Aman, hari ini.

Penyerahan tugas disaksikan Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said mewakili Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Abdul Hamid berkata, persaraan bukan masa untuknya terus melupakan pasukan polis selepas empat dekad berkhidmat.

“Tanggal keramat 3 Mei 2019, saya diberikan amanat untuk menjadi KPN ke-12 dan selepas dua tahun berlalu, tibalah hari terakhir saya memakai seragam biru dan mengakhiri perkhidmatan dalam PDRM.

“Sesungguhnya saya sendiri tidak menyangka ketika mula berkhidmat pada 4 November 1979, sebegini jauh perjalanan saya sehingga jawatan terakhir mengetuai PDRM.

“Umum mengetahui saya pernah meninggalkan pasukan untuk bersara pilihan tetapi selepas tiga tahun, saya dipanggil semula sebagai KPN.

“Selepas empat dekad, tibalah masa untuk saya berundur. Meskipun saya akan kembali ke alam persaraan namun darah Sang Saka Biru masih mengalir dalam diri dan saya akan berjuang dengan cara sendiri,” katanya.

Sementara itu, Ismail yang membaca teks ucapan Hamzah, berkata kemampuan Acryl Sani diyakini akan meneruskan legasi kepemimpinan PDRM selain membawa suntikan baharu untuk memastikan pasukan itu kekal disegani dan dihormati.

“Terima kasih juga kepada Abdul Hamid atas khidmat bakti kepada rakyat sepanjang menjadi polis. Segala bakti beliau kepada negara dan PDM amat besar nilainya.

“Kementerian akan terus memberi sokongan jitu terhadap setiap aspek membela kebajikan anggota PDRM dan komited meningkatkan kekuatan polis dari semasa ke semasa,” katanya.

Sumber : BHARIAN ONLINE

Be the first to comment on "Hari Terakhir Bersama PDRM, Ini Kenyataan Terakhir KPN Tan Sri Abdul Hamid Bador Sebelum Bersara, Memang Deep"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*