
‘Ia suatu fitnah yang kelakar.’
Itu reaksi penyanyi terkenal, Datuk Nora Ariffin berhubung gosip dirinya sudah bergelar isteri Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang heboh dalam laman Twitter, sejak malam tadi.
Nora, 48, memberitahu, tiada apa yang perlu disembunyikan kerana perkahwinan seperti yang didakwa seorang pengguna laman Twitter, tidak wujud.
“Saya tiada akaun Twitter dan tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya. Bagaimanapun, selepas menerima pelbagai pertanyaan dan ucapan tahniah bertalu-talu, barulah saya tahu ciapan itu.
“Tidak tahu hendak komen apa kerana perkahwinan itu tidak pernah berlaku. Sejak pemergian suami, Allahyarham Johan Nawawi, empat tahun lalu, saya masih sendiri.
“Selain sibuk dengan kerjaya seni, saya mempromosikan pelbagai produk dalam akaun Instagram (IG).
“Kalau betul saya berkahwin dengan VVIP, tak perlulah saya nak susah payah buat semua kerja itu,” katanya kepada BH Online.
Nora atau nama penuh, Wan Norafizah Wan Ariffin menambah sebagai penyanyi, sudah menjadi lumrah dirinya bertemu dan bergaul dengan kenamaan.
“Memang saya mengenali beliau (Annuar) dan kenamaan lain. Tetapi, selalunya atas urusan kerja.
“Sebagai penyanyi, adalah perkara biasa untuk saya bertemu dengan pelbagai golongan… Setakat itu sahajalah,” katanya yang mencipta nama dengan lagu Di Persimpangan Dilema pada 1994.
Ditanya apakah dia akan mengambil tindakan ke atas individu yang memfitnahnya itu, Nora enggan memperbesarkan perkara itu.
“Saya tidak marah pun, malah, saya anggap perkara ini melucukan. Mungkin mereka hendak usik saya. Saya anggap ini dugaan Ramadan.
“Lagipun, anak sulung saya, Mohamad Syakir Iman beritahu dia sudah menafikan berita itu di Twitter.
“Walaupun saya tidak tahu apa yang ditulisnya, tindakan itu melegakan hati saya,” katanya yang baru muncul dengan versi baharu single Naluri 2021.
Dalam reaksi balas, Mohamad Syakir bertanya kepada mana-mana peguam jika ciapan yang tular itu berunsur fitnah selain meminta bukti kukuh jika benar ibunya sudah berkahwin buat kali kedua.
Kontroversi tercetus apabila seorang pemilik akaun Twitter mengucapkan tahniah dengan mendakwa Nora yang juga bekas pemenang Bintang HMI 1991, sudah bernikah dengan Annuar.
Sumber : BHARIAN ONLINE
Leave a Reply