Lelaki Ini Ditahan Kerana Guna Ekzos Bising. Alasan Yang Dia Beri Kepada Polis Ada Netizen Cakap Masuk Akal

“Saya akui guna ekzos bising kerana trend dan minat,” itu kata seorang pemilik motosikal yang menggunakan ekzos bising selepas ditahan dalam operasi di Jalan Duta, di sini pada Isnin.

Lelaki yang dikenali sebagai Shahril, 30, berkata, dia ditahan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Subang, Selangor.

“Saya tahu bunyi bising itu memang mengganggu orang dan saya menyesal dengan perbuatan itu,” kata pemilik Yamaha Y15 yang ditemui Sinar Harian di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur, di sini.

Menurut Shahril dia membeli ekzos itu daripada kenalannya tahun lalu pada harga RM400.

“Saya menggunakan ekzos ‘secondhand’ sahaja. Ekzos yang asal saya masih simpan.

“Ekzos bising itu untuk ‘keselamatan’ saya. Kereta di depan tahu saya ada di belakang dan tidak menghalang laluan untuk memotong dan sebagainya,” katanya.

Polis menahan 10 buah motosikal dalam operasi di Jalan Duta, Kuala Lumpur pada Isnin, atas kesalahan penggunaan ekzos bising yang keterlaluan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, Ops Khas Kesalahan Bunyi Bising sepasukan pegawai dan anggota JSPT Bukit Aman itu dijalankan bermula jam 10 hingga 12.30 tengah hari.

Jelasnya, sebanyak 10 buah motosikal ditahan kerana kesalahan ekzos bising dan pengubahsuaian yang keterlaluan.

“Antara motosikal yang ditahan adalah jenis Yamaha Y15 (4), Yamaha 125Z (1), Yanaha R15 (1), Benelli (1), Kawasaki Z900 (1), Yamaha R6 (1) dan Kawasaki ER-6 (1).

Zulkefly (dua dari kanan) menunjukkan sebuah motosikal yang ditahan dalam operasi di Jalan Duta, Kuala Lumpur pada Isnin, atas kesalahan penggunaan ekzos bising yang keterlaluan.

“Tindakan akan diambil di bawah Kaedah 103 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan Dan Penggunaan) 1959 (LN 170/1959) selain akan dirujuk kepada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana pengubahsuaian,” katanya.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan JSPT Bukit Aman, Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin.

Selain itu katanya, operasi berkenaan turut mengeluarkan 93 saman ke atas kenderaan lain.

Tegasnya, polis akan mengambil tindakan berterusan dan orang ramai dinasihatkan tidak melakukan ubah suai kenderaan sesuka hati bagi mengelakkan berdepan undang-undang.

Sumber: Sinar Harian

Be the first to comment on "Lelaki Ini Ditahan Kerana Guna Ekzos Bising. Alasan Yang Dia Beri Kepada Polis Ada Netizen Cakap Masuk Akal"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*