Tengah Buat LIVE TikTok Tiba Tiba Almari Belakang Terbuka Sendiri (Video)

SIAPA yang tidak cuak apabila ‘diganggu’ tambah-tambah lagi ketika sedang berseorangan di bilik tidur?

Itulah yang berlaku kepada wanita ini ketika dia sedang bersiaran secara langsung (live) di aplikasi TikTok, baru-baru ini.

Menerusi beberapa klip video yang dikongsi di laman sosial tersebut, jelas kedengaran bunyi seperti ketukan pada dinding, selain pintu almari terbuka sendiri sehingga menarik perhatian para pengikutnya yang sedang mengikuti siaran live tersebut.

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Tiya Kamal berkata, ketika itu dia sedang berkongsi pengalaman misteri yang pernah dialami bersama para pengikutnya.

“Masa itu saya sedang live lebih kurang pukul 2 atau 3 pagi. Saya secara spontan berkongsi kisah mistik di universiti tempat saya belajar. Memang saya tak perasan pun pintu almari terbuka sebab fokus tengok telefon.

“Kemudian ada followers tegur, saya ingat mereka main-main. Saya minta mereka hantar footage tersebut. Bila lihat sendiri, terasa meremang juga. Ketika itu saya berada di rumah ibu bapa di Ayer Hitam, Pulau Pinang dan memang saya seorang saja di bilik ketika itu.

“Keesokannya, saya buat lagi live pada lewat malam sebab ramai yang request nak saya kongsi pengalaman mistik. Awal-awal lagi saya tunjuk sekeliling bilik untuk tunjukkan saya berseorangan sebab bimbang ada yang tuduh saya menipu.

Salah satu rakaman di mana Tiya turut diganggu dengan bunyi ketukan ketika sedang bersiaran langsung di TikTok.

“Tiba-tiba ada bunyi ketukan banyak kali… followers pun tegur. Dalam rakaman tu saya beritahu tak dengar apa-apa, tapi sebenarnya saya dengar cuma malas nak layan, bimbang ia menjadi-jadi. Saya habiskan cerita dulu dan akhiri live. Esoknya, saya demam selama tiga hari,” cerita wanita berusia 22 tahun ini.

Bercerita lebih lanjut, anak bongsu daripada lima adik beradik ini berkata dia sebenarnya mempunyai ‘deria keenam’ dan sudah biasa melihat makhluk yang tidak dapat ditembusi dengan mata kasar.

Menurut Tiya, ‘anugerah’ tersebut diperolehinya ketika berusia 12 tahun, di mana ketika itu dia pertama kali menyaksikan makhluk ghaib dengan mata kepalanya sendiri.

“Ia adalah sosok kanak-kanak kecil yang bertinggung di hujung katil. Saya beritahu kakak tapi dia tak nampak apa-apa. Dan sejak itu, saya kerap kali ternampak makhluk ghaib sama ada ketika di sekolah menengah, kolej matrikulasi, dan hingga sekarang.

“Kebiasaannya, saya hanya ternampak sahaja namun ketika di kolej matrikulasi, saya pertama kali dirasuk. Ketika itu selepas pulang kelas malam, saya ternampak seekor kucing putih lantas membawanya ke bilik untuk beri makan.

“Ketika mendokong kucing itu, saya terus tak sedar apa-apa dan sepanjang tempoh itu, saya dirasuk… saya menari dan bertutur bahasa orang lama. Pihak sekolah hubungi ibu bapa, dan saya dibawa pulang untuk berubat. Ustaz yang ubatkan saya kata, ada ‘benda’ nak berkawan,” ceritanya yang kini menuntut jurusan Sains Komputer di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Walau sudah mendapatkan rawatan alternatif, Tiya berkata gangguan yang dialaminya masih berterusan sehingga kini, namun dia tidak lagi dirasuk.

Mengakui kadang kala terlalu ‘penat’ kerana kerap mengalami gangguan, Tiya reda dan menganggapnya sebagai satu ‘anugerah’ buat dirinya.

Tiya (kiri) menganggap ‘kelebihan’ yang dimilikinya merupakan salah satu cara untuk melindungi keluarga dan rakan-rakan.

“Kalau boleh, memang tak nak sebab rasa penat… kadang kala tak cukup tidur. Tapi saya bersyukur, walaupun kerap nampak, namun Alhamdulillah tak lagi dirasuk ataupun alami masalah kesihatan.

“Mungkin ini kelebihan yang dikurniakan kepada saya untuk melindungi keluarga dan orang sekeliling. Contohnya kalau pergi beriadah di kawasan tertentu dan ternampak makhluk ini, saya akan beri amaran kepada keluarga atau rakan supaya jaga tingkah laku dan percakapan.

“Bagi yang sering melakukan aktiviti di kawasan hutan atau tempat yang tak dihuni manusia, jangan lakukan perkara tak sepatutnya kerana ada makhluk yang huni kawasan itu. Paling penting, jaga percakapan dan bacalah doa sebagai pendinding,” katanya lagi.

VIDEO KEJADIAN:

Sumber : MSTAR ONLINE

 

Be the first to comment on "Tengah Buat LIVE TikTok Tiba Tiba Almari Belakang Terbuka Sendiri (Video)"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*