Ibu Pengantin Lelaki Beritahu Apa Dia Rasa Bila Anaknya Nak Kahwin Dengan Gadis Umur 15 Tahun

Tanah Merah: “Kami sendiri tak sangka akan bergelar suami isteri seawal usia remaja, namun menganggap Allah sudah tentukan jodoh kami tiba awal,” itu jawapan pengantin remaja, Nurin Irdina Mohd Muhizan dan Ahmad Faris Umar Alwi, masing-masing berusia 15 dan 17 tahun.

Ketika ditemui di rumah Ahmad Faris Umar di Taman Kenanga di sini, pasangan pengantin yang baharu melangsungkan perkahwinan 10 hari lalu kelihatan berseri dan masih malu-malu dengan inai masih merah di jari pengantin perempuan.

Nurin Irdina berkata, dia dan suami berkenalan lapan bulan lalu dan saling berhubung menerusi telefon bimbit sebelum hubungan itu diketahui keluarga Ahmad Faris Umar.

Kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Mahmud Paduka Raja (1) itu, keluarga Ahmad Faris Umar datang berjumpa keluarganya dan mencadangkan agar disatukan mereka berdua untuk menghalalkan hubungan.

“Ketika diberitahu mengenai perkara itu, saya agak terkejut dan langsung tidak menyangka bahawa keluarga akan mengambil keputusan sedemikian namun saya tidak membantah malah sedikit teruja.

“Segala persiapan dilakukan dalam tempoh dua bulan malah segalanya dipermudahkan sehinggalah pada 20 Disember lalu saya sah menjadi isteri,” katanya ketika ditemui di rumah mentuanya di sini, hari ini.

Nurin yang juga anak sulung daripada lima beradik berkata, dia sudah berhenti sekolah namun akan tetap menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lagi di sekolah swasta.

Perkahwinan kedua remaja itu mulai tular sejak semalam apabila video dan foto mereka yang mengenakan busana pengantin dipaparkan di laman sosial malah mengundang perdebatan dalam kalangan netizen mengenai perkahwinan mereka yang berlangsung dalam usia yang muda.

Dalam foto yang dikongsikan dalam laman sosial itu, kelihatan raja sehari itu mengenakan songket berwarna biru ketika majlis persandingan dan resepsi yang diadakan di sebuah restoran milik keluarga Ahmad Faris Umar di sini.

Ahmad Faris Umar yang juga bekas Pelajar Sekolah Menengah Ugama (Arab) Rahmaniah Paloh, di sini berkata, perkenalannya dengan isteri adalah pada awalnya sebagai pembeli dan penjual dalam talian.

Dia yang membeli kabel telefon daripada Nurin Irdina berjumpa buat kali pertama selepas barangan yang dipesannya itu dihantar ke rumah dan sejak itu mereka berhubung menerusi telefon bimbit.

“Sebaik mendengar cadangan daripada emak agar saya berkahwin, memang tidak percaya dan anggap ia satu gurauan namun apabila mengetahuinya adalah serius, saya terus bersetuju.

“Buat masa kini kami berulang-alik di rumah saya di sini manakala rumah Nurin di Kampung Chawas, tidak jauh dari sini dan saya sebelum ini bekerja dengan syarikat ayah yang mengusahakan perniagaan hartanah namun kini akan memberi fokus kepada perniagaan dalam talian bersama isteri,” kata anak bongsu daripada tujuh beradik itu.

Sementara itu, ibu Ahmad Faris Umar, Zalaha Hassan, 56 berkata, keputusan untuk mengahwinkan anak bongsunya itu disepakat bersama suami, Alwi Ismail, 63, yang ingin segera menghalalkan hubungan.

Dia berkata, suaminya seorang yang tegas dan sebaik mengetahui dua remaja itu sedang berhubung walaupun hanya menerusi telefon, tanpa berfikir panjang mereka segera membuat keputusan untuk menghalalkan hubungan.

“Faktor usia muda bukan isu utama bagi kami dan apa yang lebih penting adalah menghalalkan mereka kerana di zaman sekarang, banyak isu sosial yang semakin membangkan dan sekurang-kurangnya ia jalan terbaik buat mereka berdua,” katanya.

Sumber: Hmetro Online

Be the first to comment on "Ibu Pengantin Lelaki Beritahu Apa Dia Rasa Bila Anaknya Nak Kahwin Dengan Gadis Umur 15 Tahun"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*