3 Artis Veteran Ini Jelaskan Kenapa Mereka Duduk Rumah PPR

Impian anak seni kurang berkemampuan mendiami rumah selesa sebagai tempat berteduh, akhirnya termakbul selepas masing-masing menerima kunci unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Subang 2, Petaling, Selangor, baru-baru ini.

Lebih menggembirakan, bagi sesetengah penerima, rumah disediakan bakal menjadi tempat penyatuan keluarga apabila anak yang selama ini menetap berjauhan termasuk di negeri lain, dapat kembali tinggal bersama.

Selepas menerima surat tawaran menyewa unit PPR pada September lalu, artis veteran yang mendapat tawaran program Perumahan Komuniti Seni Prihatin atas inisiatif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), lega boleh menetap di kediaman baharu.

Tambah bersyukur apabila penerima unit PPR di Lembah Subang 2 itu turut menerima barang keperluan seperti peti sejuk, mesin basuh, almari, katil, televisyen (TV) dan sebagainya.

Penyanyi veteran, Ayati Tasrip yang sudah berpindah sejak 15 Disember lalu, tersentuh dengan kesudian pelbagai badan korporat yang bermurah hati menghulurkan sumbangan kepadanya. - Foto FINAS

Penyanyi veteran, Ayati Tasrip, 60, yang sudah berpindah sejak 15 Disember lalu, tersentuh dengan kesudian semua pihak bermurah hati menghulurkan sumbangan kepada mereka.

“Saya dan suami sangat bersyukur apabila dipilih memiliki sebuah unit PPR di Lembah Subang 2 ini, apatah lagi rumah ini selesa.

“Biarpun atas status PPR, rumah ini mempunyai tiga bilik dan cukup besar bagi kami. Alhamdulillah, terima kasih kepada FINAS dan badan bukan kerajaan (NGO) lain yang membantu kami mendapatkan kediaman ini.

“Kami rasa bertuah dan bersyukur apabila turut menerima sumbangan barangan rumah. Bukannya sedikit, boleh dikatakan keperluan yang lengkap untuk kami semua yang menerima rumah di PPR Lembang Subang 2 ini,” katanya kepada BH Online.

Tambah penyanyi yang popular dengan lagu Khazanah Dari Malaya itu, sumbangan itu meringankan tanggungannya bersama suami, pesara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bergantung kepada pencen.

“Dengan duit pencen suami, mampulah kami membayar sewa rumah PPR. Lagipun saya tiada pendapatan seperti dulu. Sejak pandemik COVID-19, undangan persembahan tidak banyak.

“Jadi pemberian ini sedikit sebanyak meringankan tanggungan kami,” katanya.

Ayati bersyukur tidak perlu lagi membebankan anak hasil perkahwinan suaminya yang lalu apabila tinggal bersama di Pandan Indah.

Bekas juara program realiti, Sinaran Pasport Kegemilangan 1996, Alina Hassan tidak sabar berpindah ke rumah baharu dan tinggal bersama anak. - Foto FINAS

“Apabila dapat rumah PPR, kami berpindah dan duduk berdua, tidaklah menyusahkan anak kami,” katanya.

Ayati menjadi ibu tunggal sejak empat tahun lalu selepas suami pertamanya, Zulkifly Halim meninggal dunia. Mereka memiliki empat anak dan lapan cucu.

Sementara itu, bekas juara program realiti, Sinaran Pasport Kegemilangan 1996, Alina Hassan, 53, tidak sabar berpindah ke rumah baharu dan tinggal bersama anak.

Alina berkata, selepas memiliki rumah sendiri, dia tidak perlu berulang alik ke Terengganu untuk menjenguk anak yang tinggal bersama bekas suami di negeri itu.

“Saya sekarang di Terengganu untuk mengambil anak saya duduk bersama di rumah baharu itu nanti.

“Alhamdulillah, apabila sudah siap dengan kelengkapan nanti, barulah saya senang hati mahu mengambil dan menjaga anak kedua saya yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Jadi, saya tidak perlu risau lagi mengenai keperluannya. Saya tidak sabar hendak menjaga dan duduk bersama anak,” katanya.

Namun, Alina risau kerana kes jangkitan COVID-19 di Selangor dan Kuala Lumpur mencatatkan peningkatan sejak akhir-akhir ini.

“Diharapkan keadaan ini segera pulih sebab saya mahu bawa anak tinggal bersama,” katanya yang akan mula menetap di unit PPR itu, akhir bulan ini.

Selama ini, Alina yang mempunyai empat anak menetap di bilik sewa di sebuah rumah kedai di Setapak, Kuala Lumpur, sejak dua tahun lalu.

Pelakon, Noralbaniah bersyukur memiliki rumah sendiri yang menjadi impiannya sejak sekian lama, biarpun hanya hidup bersendirian. - Foto FINAS

Pelakon Noralbaniah, 51, juga teruja mengecat rumah baharunya sebelum berpindah akhir bulan ini. Biarpun bakal tinggal sendirian, Noralbaniah bersyukur kerana memiliki rumah sendiri adalah impiannya.

“Syukur, kerajaan, FINAS dan NGO banyak membantu artis veteran untuk mendapatkan rumah. Tambah bersyukur apabila mereka turut menghulurkan barangan keperluan lain.

“Saya dapat sofa, set bilik tidur, tikar getah dan pelbagai barangan kelengkapan lagi. Jadi, tidak payah kami susah-susah fikir hendak membeli,” katanya.

Noralbaniah berkata, dia menanti lebih dua tahun untuk menghuni rumah PPR dan akhirnya, doa dimakbulkan.

“Ada yang bertanya, tidak malukah artis duduk PPR. Saya katakan, saya lagi malu kalau duduk rumah sewa. Biarlah kecil sekalipun, puas hati duduk di rumah sendiri.

“Bagaimanapun, unit PPR yang kami terima tidaklah kecil, ada tiga bilik tidur dan dua bilik air, memadai untuk saya seorang,” katanya.

Noralbaniah berharap melunaskan bayaran bulanan dengan baik supaya akhirnya unit PPR itu boleh menjadi miliknya.

“Kami perlu membayar bulanan tepat pada masa dalam tempoh dua tahun. Kalau bayaran ‘cantik’, insya-Allah unit itu boleh disewa beli,” katanya.

Pada awal September lalu, 25 penggiat seni menerima surat tawaran menyewa unit PPR di bawah Inisiatif Perumahan Komuniti Seni Prihatin yang diusahakan FINAS serta KPKT.

Seramai 19 penerima ditawarkan kediaman di PPR Sri Aman Kuala Lumpur dengan baki enam penerima lagi ditempatkan di PPR Lembah Subang 2.

Antara penggiat seni yang menerima surat tawaran itu adalah Tawil, Delimawati Ismail, Halimah Alias, Wan Nor Azlin Wan Mohd Hussin, Badrul Muhayat, Zaleha Sidek, Aizom Othman, Rusilawati Hassan dan Mahmud Ali Basha.

Kediaman berkeluasan 650 kaki persegi itu memiliki tiga bilik dan dua bilik air. Ia turut dilengkapi kemudahan asas seperti katil, sofa, dapur gas, meja makan dan almari tajaan beberapa badan korporat.

Sumber: Bharian Online

Be the first to comment on "3 Artis Veteran Ini Jelaskan Kenapa Mereka Duduk Rumah PPR"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*