Punca Sebenar Ketukan Pintu Misteri Telah Dijumpai. Ini Kenyataan Dari Pihak Pengamal Perubatan Tradisional Darussyifa

Gangguan misteri ketukan pintu dan gegaran jeriji besi yang ‘mengacau’ empat negeri di beberapa kawasan perumahan sejak pertengahan bulan lalu ‘bukan kerja manusia’.

Misteri itu yang sedang diteliti Persatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Islam Malaysia (Darussyifa’) yakin gangguan itu dilakukan makhluk halus, jin atau syaitan.

Sehingga kelmarin, Johor menjadi negeri keempat yang penduduknya diganggu ketukan pintu tengah malam dan dinihari, selepas isu sama melanda Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Berkongsi dengan Mingguan Malaysia, Pengerusi Darussyifa’, Abdul Rahman Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung gangguan misteri berkenaan di beberapa kawasan dan setakat ini mendapati tiada kelibat lembaga, entiti atau kesan tapak kaki.

Ini sekali gus katanya, membuktikan gangguan itu bukan kerja manusia.

Menurut beliau, gangguan berkenaan mungkin disebabkan keadaan ’emosi’ atau persekitaran kawasan tertentu yang kurang mengamalkan kehidupan berasaskan ajaran agama Islam.

“Kami meneliti kes tersebut seperti yang dilaporkan dan didapati tiada pula kesan tapak kaki manusia atau haiwan, bayangan atau lembaga hitam yang kelihatan menunjukkan ini kerja manusia. Jadi, kami yakin ini adalah gangguan makhluk halus, jin dan syaitan.

“Kita tidak menolak, gangguan emosi ketika pandemik, keadaan setempat yang kurang mengamalkan kehidupan Islam boleh menjadi punca insiden misteri itu boleh berlaku,” katanya ketika ditemui Khamis lalu.

Gangguan misteri yang pertama kali menghantui penduduk Sabak Bernam kini sudah merentasi Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.

Bukan sekadar itu, bermula dengan hanya ketukan pintu rumah dan gegaran jeriji besi, misteri itu turut melibatkan ketukan pintu bilik tidur serta gegaran di bumbung rumah.

Sementara itu, Ketua Lajnah Tarbiyyah, Disiplin dan Tatatertib Darussyifa’, Abdul Rashid Ahmad berkata, tujuan gangguan itu hanyalah sekadar untuk menakut-nakutkan dan mengacau emosi masyarakat.

“Gangguan makhluk halus, jin dan syaitan ini bertujuan membuatkan kita takut. ‘Mereka’ mahu kita rasa takut, risau dan jiwa kacau. Bukan untuk tujuan pukau atau mencuri.

“Tetapi kita perlu kembali semula kepada Allah SWT. Hidupkan kembali ibadah dan kehidupan berasaskan Islam. Selalu berjemaah solat hajat dan bacaan Yasin beramai-ramai terutama dalam rumah bersama keluarga,” katanya.

Sumber : Utusan Online

Be the first to comment on "Punca Sebenar Ketukan Pintu Misteri Telah Dijumpai. Ini Kenyataan Dari Pihak Pengamal Perubatan Tradisional Darussyifa"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*