Pintu Rumah Azlee Senario Diketuk Pada Lewat Malam. Azlee Jelaskan Siapa Yang Ketuk Pintu Rumah Dia

Pelawak Azlee Senario mendedahkan, ada dalam kalangan penduduk yang datang ke rumahnya di Taman Saujana Utama, di sini untuk meminta bantuan beras berikutan menghadapi kesulitan hidup akibat penularan Covid-19.

Pemilik nama penuh Azlee Jaafar berusia 52 tahun itu berkata, setakat pengetahuannya ramai dalam kalangan penduduk di kawasan perumahan tersebut hilang pekerjaan dan mengalami pemotongan gaji akibat penularan pandemik tersebut.

“Sangat menyedihkan apabila ada dalam kalangan mereka yang mengetuk pintu rumah saya dan meminta beras pada lewat malam. Saya amat simpati dengan nasib mereka, jadi saya beri dahulu bantuan mengikut kemampuan saya sebagai anak seni.

“Ramai juga yang berjumpa saya dan bertanya cara hendak meminta sumbangan dan sebagainya. Memandangkan saya bekerjasama dengan NGO, jadi kita akan kenal pasti mereka yang betul-betul terkesan akibat situasi Covid-19.

“Kita bantu mereka kerana ALLAH dan mudah-mudahan jasa baik kita ini mendapat balasan daripadaNya,” katanya yang juga seorang pelakon kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan kepada penduduk Kejiranan Lili (KELI), Saujana Utama yang disampaikan oleh Pertubuhan Program Ceria Al-I’tisam (Al-I’tisam), hari ini.

Seramai 70 keluarga menerima bantuan daripada NGO berkenaan dan Azlee merupakan salah seorang aktivis Al-I’tisam.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Program Ceria Al-I’tisam, Mohd Shah Sapiei berkata, bantuan disampaikan itu adalah bantuan pek makanan asas.

Antara penerima yang menerima sumbangan yang disampaikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Program Ceria Al-I’tisam (Al-I’tisam) hari ini.

“Pek makanan asas ini adalah daripada Food Bank Al-I’tisam yang mengandungi lima belas jenis barangan dan mencukupi untuk keperluan sepanjang sebulan bagi isi rumah yang tidak melebihi lima orang.

“Pada masa sama Al-I’tisam menawarkan kepada penduduk yang hilang sumber pendapatan untuk mendapatkan bantuan makanan secara bulanan hingga keadaan ekonomi mereka kembali pulih,” katanya.

Tambah beliau, bantuan berkenaan adalah di atas permintaan Azlee dalam usaha membantu golongan memerlukan.

Sumber : Sinar Harian

Be the first to comment on "Pintu Rumah Azlee Senario Diketuk Pada Lewat Malam. Azlee Jelaskan Siapa Yang Ketuk Pintu Rumah Dia"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*