Ustazah Main Tiktok, Apa Yang Ditunjukkan Di Dalam Tiktok Patut Dipuji Orang Ramai

COMELNYA! Begitulah antara reaksi netizen terhadap sebuah video TikTok yang menunjukkan seorang guru tadika menggunakan pen marker dan mewarnakan sebahagian tangannya sebelum beraksi dengan pelbagai gaya.

Bukan video menari, guru tersebut sebenarnya menunjukkan isyarat dan lukisan tangan bagi mengajar kanak-kanak tadika mengenali tulisan atau huruf jawai atau hijaiyah.

Guru berkenaan, Nur Jehaada Ibrahim berkata, dia mengajar bacaan Iqra untuk kanak-kanak berusia antara empat hingga enam tahun di sebuah tadika di Kuala Lumpur.

Wanita berusia 25 tahun itu memberitahu, dia mula berjinak-jinak dengan aplikasi TikTok untuk menunjukkan cara pengajaran yang lebih kreatif dan berkesan.

“Anak-anak murid masih kecil untuk belajar perkara baharu. Mereka boleh cepat bosan atau keliru apabila terdapat persamaan antara huruf hijaiyah dan sambungannya.

“Jadi saya guna kaedah lukisan tangan kerana budak-budak suka bermain dengan warna. Ajar guna isyarat tangan lebih mudah untuk mereka faham,” katanya kepada¬†mStar.

Lebih mesra dipanggil ustazah dalam kalangan murid-murid, Nur Jehaada berkata, pendekatan tersebut juga sesuai untuk sesi pengajaran dan pembelajaran secara perseorangan.

“Antara beberapa huruf yang mereka keliru seperti bentuk pinggan atau mangkuk, kepala tajam, kepala bujur dan kepala bulat. Bila huruf itu bersambung, lagilah mereka keliru.

“Semasa mengajar, saya juga akan lukiskan tangan mereka menggunakan warna air supaya mereka lebih terhibur dan mudah faham. Dengan budak-budak kecil kena buat mereka seronok untuk belajar,” katanya yang menjadi guru iqra selama lebih dua tahun.

Nur Jehaada mengajar Iqra lebih dua tahun.

Selain itu, guru tersebut turut mengajar murid-murid mengenai harakat (panjang pendek suara dalam bacaan al-Quran) mengunakan teknik melukis dan mewarna.

“Saya akan lukis bentuk bunga, rumah dan pokok di sehelai kertas dan mewarnakannya. Di tepi kertas saya akan letak pengukur sebagai tanda panjang harakat sesuatu bacaan itu.

“Mereka kemudian akan pegang pen marker dan melukis garisan untuk belajar yang mana kena baca pendek dan lebih panjang. Teknik ini juga menarik perhatian mereka untuk melukis dan mewarna mengikut kreativiti masing-masing,” tambahnya.

Antara alat pengajaran dan pembelajaran yang digunakan Nur Jehaada.

Menurut Nur Jehaada, kanak-kanak pada usia berkenaan turut menghadapi cabaran untuk mengingati sebutan huruf, maka dia perlu melakukan sesuatu bagi memudahkan mereka.

“Jadi, saya tarik perhatian mereka untuk mengingatinya dengan menyebutnya dengan cara menyanyikan lagu kanak-kanak yang mereka suka.

“Saya akan kumpul semua bola tu di dalam kotak dan minta mereka cabut dan akan tertera satu huruf pada bola tersebut dan menyebut hurut berkenaan dengan menyanyi. Antara lagu-lagu yang mereka suka adalah Baby Shark dan Didi and Friends,” katanya.

Nur Jehaada yang kini mengikuti pengajian Ijazah Sarjana jurusan Usuluddin dan Perbandingan Agama di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) separuh masa berkata, dia mahu membuat yang terbaik ketika mengajar kanak-kanak dalam bacaan Iqra.

Nur Jehaada mahu mengajar murid-murid dengan cara menyeronokkan.

” Sebab semasa saya usia antara empat dan enam tahun dulu saya tak berapa pandai baca Iqra. Saya kurang dapat peluang untuk baca Iqra, mula darjah 1, masuk sekolah agama baru belajar sikit-sikit, tapi rasa susah sangat.

“Semasa saya di sekolah rendah agama dulu, subjek Tajwid saya selalu gagal. Kalau pernah lulus pun, cukup makan saja. Darjah 5 dan 6 baru pandai sikit, dapat gred C.

“Jadi bila saya dah jadi cikgu Iqra sekarang, saya cuba macam-macam cara untuk bagi anak-anak murid saya faham dan seronok belajar. Saya suka buat yang terbaik untuk ajar Iqra kepada budak-budak,” katanya.

Sumber : MSTAR ONLINE

Be the first to comment on "Ustazah Main Tiktok, Apa Yang Ditunjukkan Di Dalam Tiktok Patut Dipuji Orang Ramai"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*