Makcik Ini Kena ‘Komplen’ Dengan Pelanggan Kerana Jual Kuih Seketul 50sen. Apa Jawapan Makcik Itu Buat Pelanggan Ini Terus Terduduk

# Gambar hiasan di atas

KUIH tradisional Melayu pasti memikat selera sesiapa sahaja.

Bukan hanya disajikan sebagai pemanis mulut ketika sarapan atau minum petang bersama, namun ia juga sering menjadi pilihan untuk dihidangkan ketika majlis keraian.

Kuih-muih seperti koci, lepat, ketayap, seri muka, kuih lapis, keria, bingka, kuih cara dan sebagainya adalah antara kuih yang sering dicari ketika berkunjung ke gerai.

Di sebalik rasanya yang lazat, proses penyediaannya juga begitu renyah kerana memerlukan bahan-bahan khusus, cara penyediaan yang berbeza serta memakan masa yang agak lama.

Justeru tidak hairanlah harga kuih tradisional pada masa kini mencecah di antara RM0.50 sehingga RM0.80 sebiji, tambahan pula harga barang keperluan di pasaran sentiasa meningkat.

Namun begitu, ada pula segelintir individu yang sewenang-wenangnya meminta diskaun kepada penjaja kuih kerana merasakan ia terlalu ‘mahal’ dan tidak sepadan dengan standard harga jualan di gerai, sebagaimana kisah yang dikongsikan oleh seorang pelayar di Facebook.

“Perbualan penjual kuih dengan seorang perempuan muda Melayu bekerjaya, saya cuma pasang telinga saja. ’50 sen satu kuih? Kenapa mahal benar ni cik?’ tanya Nora (bukan nama sebenar) secara berseloroh.

“50 sen sebiji pun, untung bukan banyak pun dik. Sebijik makcik jual 50 sen. Untung sebiji paling banyak pun 20 sen, 30 sen, itu pun lepas tolak kos bahan sahaja. Kos masa, kos renyah buat kuih, kos elektrik, semua tu makcik pun tak pandai la nak kira macam mana,” tulis pelayar berkenaan mengimbas kembali perbualan di antara peniaga dan pembeli.

Dalam masa yang sama, peniaga itu turut mengambil kesempatan menceritakan kisahnya yang membuat kuih berseorangan tanpa dibantu sesiapa, selain terpaksa bersedia beberapa jam lebih awal.

Menurut peniaga itu lagi, bukan sahaja keuntungan yang diperoleh terlalu sedikit, malah kadang kala penatnya seakan-akan tidak berbaloi apabila pelanggan yang datang membeli boleh dikira dengan jari.

Bagaimanapun ujarnya, hanya ada satu perkara yang membuatkannya terus bertahan untuk berniaga kuih muih.

“Pada makcik, tak apa makcik untung sikit, makcik cukup makan, sebab makcik tau, ada ramai orang kat luar sana yang macam adik, nak makan kuih orang kita. Pada makcik, ni semua sumbangan makcik pada anak-anak jugalah.

“Makcik orang Melayu. Makcik boleh meniaga sushi ke, dorayaki ke, harga pun sebijik RM2, jual 10 dah macam untung makcik sehari, barang pun ambik dari pembekal, tak perlu renyah-renyah buat semua.

“Tapi dik, kalau makcik buat macam tu, siapa lagi nak jual kuih-kuih ni dekat adik? Makcik itu menghulurkan duit RM3 semula kepada Nora.

“Makcik tak nak duit kau dik, makcik sedekah. Tiap-tiap orang yang beli kuih dengan makcik dan dia kata mahal, makcik bagi balik duit kat dia dan makcik sedekahkan,” tulis pelayar itu lagi sebagaimana luahan peniaga berkenaan.

Komen netizen yang turut sependapat dengan perkongsian pelayar berkenaan.

Tambah pelayar itu lagi, tindakan peniaga tersebut jelas memeranjatkan pelanggan wanita berkenaan, namun jawapan yang diberikan lebih membuatkan mereka terpana.

“Kalau orang Melayu tak nak tolong orang Melayu yang tak mampu, tak ada orang lain lagi yang akan tolong orang kita. RM0.50 sebiji adik kata mahal, tak mampulah tu,” tulis pelayar itu lagi sambil menambah, peniaga berkenaan kelihatan benar-benar ikhlas bersedekah.

Sehingga kini perkongsian tersebut meraih 393 shares.

Rata-rata netizen turut meluahkan rasa kecewa dengan sikap segelintir individu yang mempertikaikan harga kuih-muih tradisional.

“Terkenang dulu buat kuih kadang tak jadi, kena buang. Lepastu yang jadi pula orang cakap mahal bila dijual,” komen seorang netizen.

Sumber : MSTAR ONLINE

Be the first to comment on "Makcik Ini Kena ‘Komplen’ Dengan Pelanggan Kerana Jual Kuih Seketul 50sen. Apa Jawapan Makcik Itu Buat Pelanggan Ini Terus Terduduk"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*