Alhamdullilah, Dr Sheikh Muszaphar Terima Rezeki Anak Kembar Lagi. Ini Luahan Gembira Angkasawan Negara Selepas Dapat Kembar

“Saya amat teruja apabila mendapat sepasang kembar lagi kerana impian saya untuk memilik anak yang ramai,” kata angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, 48.

Isterinya, Datin Dr Halina Mohd Yunos, 39, selamat melahirkan bayi lelaki jam 9.47 pagi diikuti bayi perempuan jam 9.48 pagi tadi secara pembedahan di Pusat Perubatan Sunway.

Dr Sheikh Muszaphar berkata, beliau juga sudah mula merancang untuk ‘mendapatkan’ anak ketujuh sebaik anak kembarnya itu dilahirkan.

“Saya seorang yang sukakan kanak-kanak dan pada masa sama, saya mahukan anak yang ramai kerana mahu membimbing mereka yang dilihat seperti versi saya yang kecil.

“Selain itu, ada kelebihan memiliki anak yang ramai walaupun sukar untuk menjaga mereka sekarang (semasa kecil). Bila mereka sudah besar nanti, anak-anak boleh menghilangkan kesunyian apabila kami sudah tua.

“Disebabkan itu, kini saya sudah bercadang untuk mendapatkan anak ketujuh. Bagi tujuan itu, saya perlu meyakinkan isteri terlebih dulu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, empat lagi anaknya sudah tidak sabar untuk berjumpa adik mereka.

“Ketika ini, hanya saya seorang dibenarkan melawat isteri serta anak di hospital kerana situasi Covid-19.

“Isteri kini dalam keadaan baik dan sudah makan serta boleh berjalan. Jika tiada aral melintang, isteri mungkin dibenarkan pulang ke rumah Ahad ini, namun bergantung kepada keadaan luka pembedahannya,” katanya.

Sebelum ini, Dr Sheikh Muszaphar dikurniakan anak kembar lelaki iaitu Sheikh Adam dan Sheikh Noah yang kini berusia tiga tahun.

Selain anak kembar lelaki, pasangan berkenaan juga memiliki dua lagi anak perempuan iaitu Sophea Isabella, 9, dan Sophea Natasha, 7.

Sumber : HMETRO ONLINE

Be the first to comment on "Alhamdullilah, Dr Sheikh Muszaphar Terima Rezeki Anak Kembar Lagi. Ini Luahan Gembira Angkasawan Negara Selepas Dapat Kembar"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*