Brunei Tidak ‘Jarakkan’ Saf Ketika Solat Jemaah

Bermula solat Jumaat pada 7 Ogos lalu, umat Islam di seluruh Brunei diizinkan bentang sejadah rapat dengan jemaah bersebelahan tanpa ada lagi jarak satu meter.

Malah, kanak-kanak lelaki yang berusia 12 tahun ke atas dibolehkan menunaikan solat fardu itu secara berjemaah di semua masjid, surau dan balai ibadah Islam di negara kesultanan Melayu tersebut.

Berita gembira itu diumumkan Ketua Bahagian Idarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Asminan bin Haji Chuchu sebagai antara fasa keempat dilakukan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Ia susulan perkembangan wabak COVID-19 di Brunei yang semakin terkawal dengan hanya mencatatkan 141 kes sejak 8 Mei lalu dan cuma tiga kematian direkodkan iaitu kali terakhir pada 16 Jun lalu.

Menurut laporan media tempatan, di bawah tahap baharu itu, golongan wanita dan kanak-kanak dibenar untuk menunaikan sembahyang fardu lima waktu secara berjemaah di premis ibadah.

“Bagaimanapun, budak lelaki umur bawah 12 tahun dan jemaah wanita masih belum dibolehkan menyertai solat Jumaat sebagai langkah cegah penularan kes baharu COVID-19,” jelas Asminan.

Menyentuh mengenai aktiviti takmir masjid, beliau berkata, ia dibenarkan dengan jumlah hadir tidak lebih 100 orang dalam tempoh kurang dua jam termasuk kelas al-Quran dan muqaddam.

Kaedah itu berdasarkan garis panduan diterbitkan Jabatan Hal Ehwal Masjid namun pihak KHEU sentiasa bincang rapi dengan Kementerian Kesihatan Brunei jika berlaku sebarang perubahan.

Dalam pada itu, Asminan turut menasihatkan jemaah dan orang ramai yang mahu memasuki masjid agar kekal mematuhi segala prosedur operasi standard ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Mereka diingatkan wajib mendaftar masuk dengan menggunakan aplikasi BruHealth serta mendapatkan kelulusan sama ada kod warna hijau atau kuning bagi hadiri solat Jumaat dan fardu lima waktu.

Justeru ujar Asminan, tiada lagi tempahan secara dalam talian untuk dipilih sembahyang Jumaat mulai minggu ini, tetapi jemaah digalak mengambil wuduk sebelum ke masjid dan memakai pelitup.

Jemaah juga dikehendaki membawa sejadah sendiri berukuran besar, mengimbas kod QR, buat pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan, amalkan penjarakan sosial dan elak bersalaman.

Bagi mereka yang jelas ada tanda jangkitan pula dilarang keras untuk hadir. Fasa keempat bagi pembukaan semula masjid, surau dan balai ibadat bermula solat fardu Subuh pada 3 Ogos lalu.

Setakat ini, Brunei memiliki 111 buah premis solat berjemaah awam yang meliputi dua masjid bertaraf negara, 12 masjid utama, 25 masjid mukim, 53 masjid kampung dan 19 balai surau.

KHEU menggantung semua aktiviti di rumah ibadah sejak 17 Mac lalu meliputi solat berjemaah, sunat tarawih dan sembahyang Aidilfitri tetapi azan lima waktu solat fardu masih dilaungkan seperti biasa.

Solat Jumaat mula diizinkan pada 29 Mei lalu hasil ketetapan Majlis Ugama Islam Brunei sebelum dibuka solat fardu lima waktu secara terhad tanpa wanita dan kanak-kanak pada 15 Jun lepas.

Sumber : pnbbcportal

Be the first to comment on "Brunei Tidak ‘Jarakkan’ Saf Ketika Solat Jemaah"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*