Rider Lain Pakai Motor, Lelaki Ini Selamber Hantar Makanan Foodpanda Naik Basikal

“Saya tak malu mengayuh basikal lebih 18 kilometer setiap hari untuk menghantar makanan yang dipesan pelanggan, biarpun majoriti yang lain bermotosikal,” kata Khairil Hilmi Khalid, 35, dari Taman Alamanda 3, Jalan Pusara, di sini.

Penghantar makanan menggunakan basikal itu berkata dia berasa puas apabila pesanan pelanggan dapat disempurnakan.

Bapa kepada lima anak itu berkata, dia menyedari risiko ketika berada di atas jalan raya, namun dalam menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan dia sentiasa berhati-hati dan menjaga keselamatan makanan yang dibawa dan keselamatan diri sepanjang perjalanan.

“Syarikat telah menetapkan penghantar makanan yang menggunakan basikal paling jauh sekitar dua kilometer sahaja dan bekerja mengikut shif iaitu 9 hingga 11 pagi dan 9 hingga 11 malam setiap hari,” katanya yang bekerja dengan Food Panda.

Dia antara lima penghantar makanan menggunakan basikal selepas diperkenalkan syarikat berkenaan sejak seminggu lalu.

Khairil Hilmi Khalid, 35, penghantar makanan menggunakan basikal mengambil pesanan untuk pelanggan. - Foto NSTP/Zaid Salim

Khairil Hilmi yang mesra dipanggil Khir ditemui ketika mengambil pesanan pelanggan di sebuah restoran di bandar ini malam tadi.

Ketika ditanya kenapa tidak menggunakan motosikal, dia berkata, selain mencari rezeki secara tidak langsung dengan berbasikal dia dapat melakukan senaman.

“Ada juga pelanggan yang terkejut melihat saya menggunakan basikal dan mereka kagum selain menasihati supaya sentiasa menjaga keselamatan ketika berada di jalan raya,” katanya.

Mengakhiri perbualan, Khir berkata, golongan muda supaya tidak mencari alasan untuk menganggur kerana selagi ada kemahuan, banyak jalan rezeki halal yang terbuka.

Sumber : BHARIAN ONLINE

Be the first to comment on "Rider Lain Pakai Motor, Lelaki Ini Selamber Hantar Makanan Foodpanda Naik Basikal"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*