Polis Akan Mula ‘Melawat’ Tempat Kerja. KPD Petaling Jaya Jelaskan Supaya Jangan Ada Salah Faham

Polis Daerah Petaling Jaya komited menggerakkan operasi pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di pejabat-pejabat di daerah tersebut, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya (IPD), Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, usaha itu sebagai menyahut seruan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memastikan penularan jangkitan COVID-19 membabitkan kluster tempat kerja dapat dicegah.

Menerusi operasi tersebut, Nik Ezanee berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan SOP termasuk pemakaian pelitup muka dan pengambilan suhu badan, selain memberikan nasihat kepada pemilik premis.

“Kalau ikut pengoperasian kita sebelum ini lebih kepada jangkitan dalam kluster sosial dan kita tengok peratusan kluster tersebut di Petaling jaya adalah sebanyak lapan peratus.

Kluster Tempat Kerja: Polis PJ mula tinjauan di pejabat-pejabat

Menerusi operasi tersebut, Nik Ezanee berkata pihaknya menjalankan pemeriksaan SOP termasuk pemakaian pelitup muka dan pengambilan suhu badan, selain memberikan nasihat kepada pemilik premis – Gambar Astro AWANI

“Jadi, tindakan yang kita buat selama ini adalah betul. Jadi, sekarang kita tengok kepada kluster tempat kerja di mana saya sedar dari segi pendekatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di tempat-tempat kerja di Petaling Jaya hampir tiada sebelum ini.

KITA BUKAN NAK SUSAHKAN ORANG

“Tujuan kita adalah untuk menasihat dan mendidik. Kita bukan pergi ke tempat kerja untuk menyusahkan orang tetapi ini atas keprihatinan kita kepada komuniti di Petaling Jaya, dan bukan nak menyusahkan,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di IPD Petaling Jaya, di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Nik Ezanee berkata, pihaknya menyasarkan mengunjungi sekurang-kurangnya 100 pejabat pada minggu ini.

Katanya, operasi secara mengejut itu akan disertai pegawai-pegawai kanan dari IPD Petaling Jaya.
“Apabila kita sudah memberikan nasihat dan kita datang balik, mereka yang tidak ikut (SOP) kita akan kenakan kompaun. Setakat ini, 99 peratus mematuhi SOP dan kita tengok kepada statistik, kluster sosial adalah di bawah 10 peratus.

“Maknanya, kita melakukan strategi yang betul dan bagaimana kita mahu berurusan dengan syarikat perniagaan,” tambahnya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sembilan daripada 26 kluster yang aktif di Selangor mempunyai kaitan yang amat rapat dengan penularan di tempat kerja iaitu 34.6 peratus.
Setakat 12 tengah hari Ahad, sebanyak 88 kes baharu direkodkan di Selangor.

LAPORAN PENUH

Sumber : ASTRO AWANI

Be the first to comment on "Polis Akan Mula ‘Melawat’ Tempat Kerja. KPD Petaling Jaya Jelaskan Supaya Jangan Ada Salah Faham"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*