‘Kalau mula-mula ini nampak salah, tapi akhirnya betul, insya-Allah rakyat akan berterima kasih’ – Annuar Musa

Menjawab kritikan terhadap kemungkinan pelaksanaan darurat, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata segala kemelut politik yang sedang melanda negara boleh saja diselesaikan dengan pilihan raya umum (PRU).

Namun di kala negara dilanda wabak Covid-19, Annuar berkata kerajaan memilih untuk tidak membahayakan keselamatan rakyat, selain enggan berdepan risiko “dihukum” jika membuat keputusan yang salah.

Dia berkata demikian ketika mengulas spekulasi darurat yang dikaitkan sesetengah pihak dengan cubaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengelak undian – terutama untuk Belanjawan 2021 – di Parlimen yang akan menguji majoriti yang dimilikinya.

Memberikan bayangan bahawa darurat adalah jalan terbaik mengelakkan pilihan raya ketika wabak – termasuk PRK Batu Sapi dan PRN Sarawak, Annuar berkata dia sebenarnya mahu PRU diadakan segera bagi menamatkan kemelut politik negara.

“Kalau ikut saya, bulan ini juga saya nak pilihan raya (umum), selesai masalah. Saya rasa (mandat) harus dipulangkan kepada rakyat secepat mungkin.

“Tapi kena pastikan jangan sampai menggadaikan nyawa rakyat. Jadi biarlah ia difikir dan dibincangkan betul-betul, kemudian kita tengok apa yang baik,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak MYGrocer@Wilayah di PPR Air Panas, Setapak pagi tadi.

Menurutnya, jika pun darurat benar-benar diisytihar, ia akan berjalan selama beberapa bulan sahaja dan tidak melebihi setahun.

Pagi semalam, mesyuarat khas Kabinet di Putrajaya dilaporkan bersetuju dengan pelaksanaan “darurat” bagi menangani Covid-19.

Berita “darurat” itu mengundang bantahan pembangkang, antaranya oleh bekas menteri kesihatan Dr Duzlkefly Ahmad yang berkata usaha mengekang Covid-19 tidak memerlukan darurat.

Presiden PKR Anwar Ibrahim pula mengadaikan menyifatkan ia memungkinkan negara ke arah kediktatoran, dan kerajaan mahu menjadikan wabak itu sebagai alasan menyekat proses Parlimen.

Hari ini, Istana Negara memaklumkan Yang di-Pertuan Agong akan berunding dengan Raja-raja Melayu setelah pertemuan dengan Muhyiddin berkenaan perkara itu.

Dalam pada itu, Annuar berkata kerajaan tidak boleh tergesa-gesa membuat keputusan jika tidak ingin berdepan kemarahan rakyat.

“Kalau kita pilih cara yang salah, akhirnya rakyat akan menghukum kita. Tapi kalau mula-mula ini nampak salah, tapi akhirnya betul, insya-Allah rakyat akan berterima kasih,” katanya lagi.

Justeru, dia meminta semua pihak termasuk pembangkang bersabar dan tidak segera “menjatuhkan hukuman”, sebaliknya menunggu penjelasan dan pengumuman rasmi kerajaan.

“Kebanyakan kenyataan yang saya dengar itu berbaur politik, itu tak mengapalah. Barangkali ada juga baiknya, kita dengar dulu semua orang nak cakap apa.

“Nasihat saya kepada semua, jangan berlunjur sebelum duduk, setelah duduk baru berlunjur. Biarlah perkara ini terus dibincangkan di pelbagai peringkat…Kita harap apa juga tindakan, biarlah keselamatan dan nyawa rakyat didahulukan,” katanya lagi.

Sumber : Malaysia KINI

Be the first to comment on "‘Kalau mula-mula ini nampak salah, tapi akhirnya betul, insya-Allah rakyat akan berterima kasih’ – Annuar Musa"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*