Dulu Mereka Letak Van Jenazah Untuk Halang Lori Keluar Masuk Tapi Diminta Alih. Kali Ini Mereka Letak Ini Pula Untuk Halang Lori Guna Jalan Mereka

Drama penutupan jalan bagi menghalang kenderaan berat seperti treler dan lori melalui hadapan Masjid Jamek Haji Manan semakin panas apabila pemilik tanah mengubah halangan daripada van jenazah kepada batu konkrit, petang semalam.

Bagaimanapun, tindakan itu menimbulkan rungutan orang ramai khususnya pengguna jalan raya kerana selain perlu mengelak halangan itu, mereka terpaksa melalui lima bonggol dibina sebelum ini.

Pengguna jalan dikenali sebagai Osman, 35, berkata, walaupun pemilik tanah itu bertujuan menghalang kenderaan berat seperti treler dan lori melalui jalan berkenaan, namun mereka perlu memikirkan pula kepayahan pengguna jalan lain.

Katanya, Jalan Haji Manan-Nyior dibina untuk memudahkan dan memendekkan perjalanan penduduk di taman berhampiran serta di Kampung Melayu Nyior, Chamek dan Paloh untuk melakukan urusan di bandar Kluang.

DULU VAN JENAZH SEKARANG LETAK BATU KONKRIT

BATU konkrit diletakkan di hadapan Masjid Jamek Haji Manan bagi mengelakkan kenderaan berat seperti treler dan lori melalui jalan berkenaan. FOTO ADNAN IBRAHIM.

“Jika ini kesudahannya, seolah-olah pembinaan jalan ini bukan semakin menyenangkan, malah menyusahkan pengguna apatah lagi mereka yang menjadikan jalan ini sebagai laluan utama untuk berulang-alik ke tempat kerja.

“Saya berharap pihak berkaitan mengambil langkah sewajarnya mengatasi masalah ini kerana apa yang berlaku sekarang ini amat menyusahkan pengguna jalan,” katanya.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan pemilik tanah di hadapan Masjid Jamek Haji Manan meletakkan van jenazah bagi bagi menghalang syarikat pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) menggunakan laluan itu sebagai jalan utama menghantar bahan binaan seperti batu bata serta simen ke tapak projek.

Bagaimanapun, atas nasihat polis, van berkenaan dialihkan dan keadaan pulih seperti biasa sebelum halangan ditukar kepada batu konkrit, petang semalam.

Sementara itu, Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Mahkota, Mohd Nor Lingan berkata, pihaknya sudah berjumpa pemilik tanah dan mencadangkan satu pertemuan dengan pihak berkaitan dilakukan dalam masa terdekat.

“Ia bertujuan membincangkan penyelesaian tuntutan seperti diminta pemilik tanah dalam situasi menang menang di antara pihak berkaitan.

“Kita mahukan perkara ini diselesaikan sebaiknya dan tidak lagi menjadi kesusahan sama ada kepada pengguna jalan atau pemilik tanah,” katanya.

Be the first to comment on "Dulu Mereka Letak Van Jenazah Untuk Halang Lori Keluar Masuk Tapi Diminta Alih. Kali Ini Mereka Letak Ini Pula Untuk Halang Lori Guna Jalan Mereka"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*