Teruja Pertama Kali Jadi Pegawai SPR, Wanita Ini Ceritakan Apa Jadi Selepas Disahkan Positif C0VlD

“Bukan drama atau wayang, kami bukan saja terpaksa berperang dengan kesakitan fizikal malah cabaran mengawal emosi,” kata bekas pesakit Covid-19, Nur Alang Sudi, 34.

Ibu kepada dua anak itu berkata, dia disahkan positif selepas ujian saringan wajib Covid-19 bagi petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Lahad Datu, Sabah.

“Siapa sangka pada awalnya perasaan teruja terpilih menjadi petugas SPR buat kali pertama bertukar pengalaman menyedihkan apabila disahkan positif Covid-19.

“Dalam masa 10 hari menunggu keputusan ujian saringan itu saya tidak mengalami simptom batuk, sakit tekak atau demam.

“Hanya berasa sakit di leher, belakang badan dan sendi tetapi tidak terlalu serius,” katanya.

Berkongsi keadaan di Pusat Kuarantin PPR Seri Sapagaya di Lahad Datu, Nur Alang berkata, pesakit Covid-19 di situ semakin hari semakin meningkat.

 Nur Alang ketika di Pusat Kuarantin PPR Seri Sapagaya di Lahad Datu. Foto Ihsan Nur Alang Sudi

“Saya melihat sendiri pesakit sebelah katil muntah dan tidak mampu untuk makan serta ada yang menggunakan alat bantuan pernafasan.

“Di situ, saya habiskan masa dengan beribadat serta membaca al-Quran dan ada masanya petugas kesihatan melakukan aktiviti senaman zumba untuk menceriakan kami,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur petugas kesihatan membenarkannya menjalani kuarantin di rumah selepas mengesan tiada simptom Covid-19 lagi.

Katanya, dia lebih khuatir dengan keputusan ujian saringan Covid-19 keluarga yang menjadi kontak rapatnya.

“Dalam masa dua hari lagi, keputusan akan keluar dan saya berharap keputusan adalah negatif.

“Pengalaman berjauhan dengan keluarga itu amat sedih apatah lagi ada anak masih kecil.

“Suami pula berkerja di luar negara dan saya berterima kasih kepada keluarga mentua kerana banyak memberi sokongan moral dan membantu menguruskan anak saya,” katanya.

Nur Alang berkata, walaupun dibenarkan kuarantin di rumah, dia tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai pelitup muka jika keluar bilik dan berjumpa anaknya.

“Kami sekeluarga di rumah mengurangkan aktiviti berkumpul dan saya lebih banyak menghabiskan masa di bilik.

“Ia bagi mengurangkan risiko kebolehjangkitan Covid-19 antara ahli keluarga lain memandangkan keputusan ujian mereka belum keluar,” katanya.

Sementara itu, Nur Alang turut memuji kecekalan petugas kesihatan yang bertugas menjaga pesakit Covid-19 di hospital dan pusat kuarantin.

“Mereka memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) lebih 10 jam dan mereka juga membantu mengangkat beg pesakit di luar.

“Saya yakin tiada siapa mahu terkena virus ini, jadi pesanan saya patuhlah kepada prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sama-samalah kita budayakan normal baru,” katanya.

Terdahulu, Nur Alang membuat hantaran di Facebook miliknya mengenai pengalamannya menjadi pesakit Covid-19 yang bertujuan menyebarkan hikmah dan pengajaran kepada rakannya.

Perkongsian itu tular dan dikongsi lebih 2,500 pengikut serta meraih lebih 2,000 tanda suka.

Sumber : HMETRO ONLINE

Be the first to comment on "Teruja Pertama Kali Jadi Pegawai SPR, Wanita Ini Ceritakan Apa Jadi Selepas Disahkan Positif C0VlD"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*