23Jam Disiasat SPRM, Shuib Tampil Beritahu Perkara Yang Sebenar Terjadi

SELEPAS dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan pada Khamis, pelawak Shuib tampil meluahkan rasa syukur proses itu berjalan lancar.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad, 36, berkata, dia memberikan kerjasama selama 23 jam kepada SPRM dalam siasatan berkaitan pengubahan wang haram.

Ahli kumpulan Sepahtu itu juga berterima kasih kepada agensi itu yang memberi layanan baik kepadanya.

“Salam Jumaat, Alhamdulillah syukur. Terima kasih kepada semua yang mendoakan saya dan isteri.

“Saya dipanggil untuk membantu siasatan SPRM berkenaan AMLA (pengubahan wang haram) dan terima kasih kepada pihak SPRM kerana memberi layanan yang sangat baik pada saya sepanjang 23 jam siasatan.

“Saya anggap ini satu cabaran dan dugaan dalam bisnes. Doakan perniagaan #BubbleBee kami terus maju dan memberi manfaat pada semua orang”

“U pray for the Rain, u have to deal with the mud also, (anda berdoa untuk hujan, anda harus berdepan dengan lumpur)” ujarnya.

Pada Khamis, Shuib dan isterinya penyanyi Siti Sarah ini dilaporkan dipanggil hadir ke pejabat SPRM, Putrajaya berhubung pengubahan wang haram membabitkan perniagaan air yang dijalankan mereka.

Pengurus pasangan itu, Nana Mohamad Rom memberitahu, Sarah hadir hanya untuk menemani suaminya dan tidak terlibat dalam siasatan tersebut.

Terdahulu, Sarah menerusi Instagram turut meluahkan rasa syukur dan memberitahu mereka hadir bagi memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan tersebut.

“Alhamdulillah Syukur… kami dipanggil untuk memberikan kerjasama dan menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia,” ujarnya.

Sumber : MSTAR ONLINE

Be the first to comment on "23Jam Disiasat SPRM, Shuib Tampil Beritahu Perkara Yang Sebenar Terjadi"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*