Kilang Yang Jadi Punca Rakyat Selangor Tiada Air Didedahkan

Shah Alam: Kilang selenggara mesin dan jentera di Rawang yang menjadi punca pencemaran bau di Sungai Selangor sudah ditutup dan disita.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapan di Twitter memaklumkan, pelbagai pihak kini berusaha menghilangkan kesan pencemaran dalam sumber air itu.

“Berkenaan isu pencemaran yang menyebabkan henti tugas operasi Loji Rawatan Air (LRA), kilang terbabit sudah ditutup dan disita.

“Usaha menghilangkan kesan pencemaran dalam sumber air sedang giat dilaksanakan sejak semalam tanpa henti untuk memastikan air yang bersih dan selamat,” katanya.

Semalam, Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Hee Loy Sian memaklumkan siasatan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mendapati kilang berkenaan gagal melakukan penstoran sisa minyak buangan mengikut syarat ditetapkan, selain menemui bau seakan-akan pelarut mengalir ke sungai.

Kilang berkenaan diarah ditutup sementara menunggu keputusan siasatan, selain pemantauan rapi dari semasa ke semasa dilakukan Luas bersama agensi berkaitan.

Tujuh wilayah di Kuala Lumpur dan Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas empat Loji Rawatan Air (LRA) negeri ini terpaksa dihenti tugas pagi ini.

Gangguan membabitkan wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

LRA Rantau Panjang dihenti tugas 7.15 pagi semalam manakala LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) pada 9 pagi.

Sehingga 6.30 pagi tadi, LRA masih belum beroperasi.

Video Sila Ke Link : https://www.facebook.com/MediaSelangor/videos/339131167273869/

Sumber: Hmetro Online

Be the first to comment on "Kilang Yang Jadi Punca Rakyat Selangor Tiada Air Didedahkan"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*