Kasihan Ibu Tunggal Ini Bila Motor Dia Dicuri. Ini Rayuan Pilu Ibu Tunggal Kepada Yang Curi

PUCHONG – Seorang ibu tunggal merayu pencuri yang melarikan motosikal miliknya memulangkan kembali kenderaan itu yang digunakan untuk mencari rezeki.

Siti Zuraidah Bakar, 38, berkata, dia meletakkan motosikal jenis Yamaha 135LC SE berwarna biru di depan rumah sewanya di Jalan Bistari 1 Kampung Seri Aman di sini dalam keadaan berkunci pada jam 1.30 pagi tadi.

Menurutnya, dia keluar kira-kira jam 8.30 pagi tadi untuk ke tempatnya menjalankan perniagaan di Taman Puchong Permai dan terkejut mendapati motosikal yang dibeli setahun lalu tiada di parkirnya.

“Saya sangat sedih kerana itu satu-satunya kenderaan yang saya ada untuk mencari rezeki selepas kereta rosak sejak beberapa bulan lalu.

“Motosikal itulah saya gunakan untuk mencari rezeki sebagai ‘runner’ selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sebelum ini saya menjalankan perniagaan menjual pakaian bundle,” katanya kepada Sinar Harian.

Siti Zuraidah berkata, dia kini buntu apabila motosikal berkenaan hilang sekelip mata.

Katanya, dia memerlukan kenderaan itu berikutan jarak rumah ke tempatnya menjalankan perniagaan agak jauh.

“Kepada pencuri, tolonglah pulangkan kembali motosikal saya itu kerana saya bukan orang senang. Situasi masa PKP ini sudah cukup menduga hidup saya untuk mencari rezeki.

“Saya dah membuat laporan polis mengenai kehilangan motosikal ini di Balai Polis Bukit Puchong pagi tadi,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Be the first to comment on "Kasihan Ibu Tunggal Ini Bila Motor Dia Dicuri. Ini Rayuan Pilu Ibu Tunggal Kepada Yang Curi"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*