
Pelakon Izreen Azminda mengakui kini semakin seronok mengusahakan perniagaan apam yang dihasilkannya sendiri di rumah sebagai salah satu punca pendapatan hariannya.
Bahkan, menurut Izreen, usaha mencari duit poket itu mula dilakukannya sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang lalu.
Begitupun, kata Izreen, usahanya itu bukanlah disebabkan dia berada dalam keadaan terdesak berikutan tiada tawaran lakonan.
SAYA MEMANG DAH ‘KAYA’
“Saya memang dah kaya (seloroh). Bukan begitu. Apa salahnya ada bisnes sendiri sikit-sikit. Saya ada kelebihan buat apam, jadi saya teruskan sahajalah.
“Kalau saya jual apam pun, saya tak kacau duit orang. Saya dah tak takut apa orang nak kata (jual apam sebab tak ada job). Bila duit hari-hari masuk, jadi seronok pula,” katanya.
Menurutnya, dalam sehari dia menerima tempahan sehingga 400 biji apam.
“Alhamdulillah permintaan baik setiap hari. Ada dalam 300 ke 400 biji. Mula-mula saya buat seorang diri, sekarang ni ada pembantu seorang.
“Jadi, setiap hari rutin saya bangun pagi buat apam. Walaupun penat tapi seronok sebab kerja di rumah boleh tengok anak-anak depan mata,” katanya yang memperoleh jualan sehingga RM1,000 sehari.
Menurut Izreen lagi, dia terpanggil untuk berniaga apam selepas menerima respons positif daripada ahli keluarganya.
“Asalnya, bila saya buat apam, suami kata sedap, mak mentua kata sedap, jadi saya teruskan.
“Belajar buat sendiri sahaja, ambil idea daripada kawan-kawan, lepas itu saya praktik sendiri,” katanya.
Sebelum ini, Izreen mengakui dia terpaksa menolak banyak tawaran berlakon kerana terikat dengan komitmennya sebagai ibu di rumah.
Sumber : GEMPAK
Leave a Reply