Pulang Dari Luar Negara Boleh Pilih Tempat Kuarantin Sendiri Atau Tidak. Ini Kenyataan Dari Kerajaan

Kesemua individu di bawah pengawasan (PUS), sama ada warga asing atau rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan wajib menjalani kuarantin 14 hari, tidak dibenarkan memilih stesen kuarantin ditetapkan untuk mereka.

Ini berdasarkan ‘Garis Panduan Proses Kemasukan dan Kuarantin PUS Yang Tiba Dari Luar Negara Bermula 24 Julai 2020’ yang dikeluarkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Mengikut garis panduan itu, pendaftaran PUS perlu dibuat di semua pintu masuk antarabangsa dan diselaraskan NADMA, serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Sekretariat pendaftaran akan menyelaras penerimaan PUS dan pengurusan logistik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), klia2 atau pintu masuk udara, laut dan darat di seluruh Malaysia.

“PUS perlu mempamerkan Surat Aku Janji dan Indemniti (LoU) kepada petugas. Sekretariat di pintu masuk antarabangsa, akan mengaturkan keperluan logistik PUS ke stesen kuarantin yang ditetapkan,” jelas garis panduan itu yang boleh dicapai di laman web NADMA; www.nadma.gov.my.

Berkuatkuasa hari ini, kerajaan mewajibkan individu yang pulang dari luar negara perlu menjalani prosedur kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin ditetapkan, sama ada di institut latihan awam atau hotel.

Mereka yang dikuarantin juga perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin dan saringan.

Langkah ini berikutan sesetengah individu melanggar arahan menjalani kuarantin di rumah seperti keluar ke tempat awam dan makan di restoran sehingga tular di media sosial lalu menimbulkan kebimbangan masyarakat awam.

Kerajaan juga membenarkan anak berusia 12 tahun ke bawah, berkongsi bilik dengan ibu bapa di stesen kuarantin ditetapkan, dengan syarat mereka pulang dari tempat sama, serta perlu menandatangani surat persetujuan terlebih dulu.

Sementara itu, bagi pelajar tajaan, penaja diminta menanggung kos kuarantin pelajar yang terbabit dan pelajar daripada keluarga B-40 pula, boleh memohon pengecualian bayaran.

Kerajaan turut menanggung kos kuarantin pemegang kad orang kurang upaya (OKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, trend kenaikan kes harian dan kewujudan beberapa kluster baharu besar, kemungkinan disebabkan kelekaan serta ketidakpatuhan orang ramai terhadap prosedur operasi standard (SOP) atau nasihat kerajaan dalam menangani COVID-19.

Sejak kebelakangan ini beliau berkata, tular di media sosial gambar beberapa individu yang diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO), namun didapati berada di tempat awam.

Beliau berkata, analisis data terkini yang diperoleh melalui aplikasi MySejahtera menunjukkan dari 7 hingga 20 Julai, 24.8 peratus daripada jumlah individu yang diletakkan di bawah HSO tidak menggunakan fungsi ‘aturan penilaian di rumah’.

Sumber : BERNAMA

Be the first to comment on "Pulang Dari Luar Negara Boleh Pilih Tempat Kuarantin Sendiri Atau Tidak. Ini Kenyataan Dari Kerajaan"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*


Shares