Penyanyi Safura Tidak Boleh Tidur Lena Selepas Dia Pulang Dari Melawat Rakan Dia Alina Hassan

PENYANYI dan pelakon Safura Yaacob mengaku tidak dapat tidur lena apabila memikirkan keadaan rakan baiknya, Alina Hassan yang menghuni sebuah bilik kecil.

Safura berkata, mereka pernah terputus hubungan apabila Alina berkahwin dan menetap di Terengganu. Namun, dapat berhubung semula apabila berada dalam satu kumpulan WhatsApp semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

“Saya dengar pelbagai cerita mengenai keperitan hidupnya dan rasa terpanggil serta ralat jika biarkan dia sendirian melaluinya begitu.

“Justeru, pada hari jadinya baru-baru ini, saya tergerak hati nak berjumpa dan bawa dia keluar makan. Selepas makan, saya hantar dia balik dan ketika itu pula terdetik nak jenguk bilik dihuninya.

“Saya minta kebenaran Alina untuk ke biliknya dan dia izinkan. Tersentuh hati saya, apabila melihat biliknya sebegitu rupa. Tapi, apa nak buat kerana itu sahaja yang dia mampu,” katanya kepada Harian Metro.

Safura berkata, dia memahami situasi kemampuan Alina dan yang pasti sahabatnya itu tidak pernah mengeluh atau meminta-minta bantuan kepada mana-mana pihak.

“Apabila tengok biliknya, saya memang terkedu. Malam itu, saya tak boleh tidur kenangkan bagaimana dia boleh tidur di atas tilam nipis dalam bilik yang sempit.

“Saya cakap dengan suami, saya memang tak sangka betapa besar dugaan hidup Alina sekarang. Allah beri dugaan yang hebat itu kepadanya.

“Apapun, dia pernah berusaha minta rumah untuk disewa, tapi tak juga dapat-dapat. Sebagai kawan, mengapa tidak saya usahakan sesuatu untuk sama-sama membantu dia,” katanya.

Tolong beri saya rumah, bukan nak percuma tapi sewa' - Alina

Safura mengambil rakaman video bilik Alina dan memberikannya kepada Presiden Konsortium Irama, Ayob Majid untuk mendapatkan bantuan.

“Saya dengar ada artis yang dapat rumah, tapi tak tinggal di situ. Jadi, adalah lebih baik jika rumah berkenaan diberikan kepada Alina yang sangat memerlukannya.

“Bukan saja golongan artis, tetapi ada juga kebanyakan orang di luar sana yang mempunyai kewangan kukuh, tapi boleh tinggal di rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Oleh itu, saya minta Ayob percepatkan cari bantuan untuk Alina kerana tak sanggup tengok dia terus tinggal dalam bilik itu,” katanya.

Sementara itu, Ayob berkata pihaknya rasa tersentak apabila melihat kehidupan Alina.

ALINA (kiri), Ina freshies (tengah) dan Safura (kanan).

ALINA (kiri), Ina freshies (tengah) dan Safura (kanan).

“Kami berusaha nak tolong dia dengan menghubungi Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Kementerian Wilayah, Kementerian Pembangunan Wanita dan segala yang berkaitan untuk cuba dapatkan bantuan.

“Setakat ini, Alhamdulillah semuanya memberikan jawapan positif tapi kenalah tunggu minggu ini. Apapun, sama-sama kita doakan yang terbaik,” ujarnya.

Ayob berkata Alina ada anak-anak yang sepatutnya dijaga, berikutan anak memang memerlukan belaian seorang ibu. Jelasnya lagi, kalau tak dapat bantu, jangan pula mengkritik.

Sumber : HMETRO ONLINE

Be the first to comment on "Penyanyi Safura Tidak Boleh Tidur Lena Selepas Dia Pulang Dari Melawat Rakan Dia Alina Hassan"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*