
GARA-GARA percaya dengan permintaan untuk mendapatkan pengesahan daripada Instagram, akaun laman sosial milik penyanyi Adibah Noor itu digodam pihak tidak bertanggungjawab.
Adibah atau nama sebenarnya Adibah Noor Mohd Omar, 50, berkata semua gambar kenangan sudah hilang buat selama-lamanya dan kini dia terpaksa membuat akaun Instagram yang baharu.
“Hi gais… Instagram saya adibah_noor tidak lagi wujud. Betapa bodohnya saya percaya dengan permintaan ‘verification’ (pengesahan).
“Sekarang semua gambar dan post memori sudah tiada lagi selama-lamanya. Akaun baharu saya adalah @adibahnoormohdomar. Sekadar kalau anda nak mengikuti,” kata Adibah.
Adibah berkongsi perkara tersebut menerusi laman Twitter miliknya dan turut memuat naik paparan skrin emel yang berhubung dengan akaun Instagramnya turut ditukar.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Terlalu Istimewa ini mengakui dia mudah ditipu kerana terlalu panik akaun laman sosialnya akan ditutup dalam tempoh 24 jam jika tidak melakukan apa yang disuruh penggodam tersebut.
Malah Adibah sudah menjangkakan penggodam tersebut meminta wang jika ingin mendapatkan semula akaun laman sosialnya itu.
“Bila tak buat ‘verification’ mereka akan ugut nak tutup akaun dalam tempoh 24 jam la apa la. Jadi, anda pun kelam kabut la buat apa yang disuruh.
“Tukar kata kunci banyak kali bagi kod pengesahan.. (yeay saya sangat mudah ditipu). Akhirnya… sampai emel anda pun yang berhubung dengan Instagram anda mereka tukar.
“Kalau ada pihak ‘Instagram’ suruh buat pengesahan bagai… jangan percaya. Menipu saja. Sekarang akaun Instagram saya adibah_noor dah disimpan mereka.
“Seperti yang dijangka, penggodam mahukan duit untuk kembalikan akaun saya. Tiada kejutan. Jadi, ini adalah akaun baharu sekarang,” ujarnya.
Akaun baru Adibah Noor di Instagram
Sumber : MSTAR ONLINE
Leave a Reply