To’ki Dapat Rumah Baru Dan Lengkap Perabot Hasil Sumbangan. Apa Yang Akan Terjadi Dengan Rumah To’ki Dalam Hutan Diberitahu

Kesukaran hidup penyanyi To’ki, 53, yang tular di media sosial minggu lalu selepas pendedahan Astro AWANI, kini dipermudahkan apabila bantuan kediaman yang dijanjikan oleh Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan (PPZ), diterima pada Jumaat.

Rumah sewa yang terletak di Taman Setapak Indah itu kini menjadi kediaman baharu buat pemilik nama sebenar Mohd Zaki Mansur itu, dan isterinya, Sharifah Fairuz Syed Yusof, 48. Kediaman itu jelas memberi kelegaan kepada mereka yang sebelum ini terpaksa menumpang teduh di sebuah pondok kecil di pinggir hutan di Batu 12, Gombak.

Hadir menyerahkan kunci rumah berkenaan kepada To’ki ialah Ketua Pegawai Eksekutif PPZ Ahmad Shukri Yusoff yang lapang hati melihat nasib penyanyi yang pernah popular dengan lagu Biasan itu kini sedang berubah menjadi lebih baik.

RUMAH TO’KI DALAM HUTAN AKAN DIKEKALKAN UNTUK TO’KI

“Alhamdulillah.. seperti yang kita janjikan lebih kurang seminggu sebelum ini bahawa kita mahu keluarkan To’ki dari pondok di Batu 12. Tempat itu akan terus dijadikan tempat untuk To’ki berkarya, dan hari ini, rumah ini untuk To’ki dan isterinya tinggal.

“Kita juga telah lengkapkan rumah ini dengan perabot-perabot asas supaya To’ki dan juga keluarga dapat hidup dalam keadaan selesa. Ini adalah usaha kita bersama dan kita mahu To’ki terus mampu berkarya selepas ini,” kata Shukri selepas menyerahkan kunci rumah berkenaan kepada To’ki pada Jumaat.

Sementara itu, To’ki sangat bersyukur dengan usaha yang telah dijalankan oleh pihak PPZ yang sudi mencari rumah berkenaan kepadanya selepas hampir dua tahun menghuni pondoknya itu.

Baginya, peranan yang dimainkan oleh pihak PPZ dan pihak lain dalam membantu beliau sangat besar dan tidak mampu dibalas.

To’ki sewaktu menerima kunci kediaman baharu daripada pihak PPZ

“Saya bersyukur kehadrat Allah SWT dan terima kasih kerana PPZ sampai tahap ini membantu saya. Saya tak terfikir sebelum ini sampai macam ni orang ambil berat pasal saya sekeluarga.

“Terima kasih kerana terus memberikan sokongan untuk saya terus berkarya,” kata To’ki.

Bukan itu sahaja PPZ juga telah menanggung kos pembaikan kereta To’ki yang telahpun siap bagi membolehkannya lebih mudah bergerak.

Malah PPZ juga turut menyediakan katil yang lebih sesuai untuk isterinya yang masih cedera selepas terbabit dalam kemal4ngan bulan lepas selain menghadiahkannya kerusi roda yang baharu.

DAPAT SUMBANGAN SEBUAH KERETA

Bagai dikunjung tuah, nasib To’ki bertambah ceria selepas sebuah syarikat penjual kenderaan terpakai, pihak ZZ Auto Services, menerusi pemiliknya Zaihan Che, bersetuju untuk menghadiahkan sebuah kereta yang lebih selesa kepadanya untuk memudahkan urusan hariannya.

Kisah To’ki mula mendapat perhatian selepas disiarkan Astro AWANI pada 30 Jun lalu yang menarik perhatian pelbagai pihak yang tampil menghulurkan bantuan kepadanya.

Sumber : ASTRO AWANI

Be the first to comment on "To’ki Dapat Rumah Baru Dan Lengkap Perabot Hasil Sumbangan. Apa Yang Akan Terjadi Dengan Rumah To’ki Dalam Hutan Diberitahu"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*