
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa mengatakan bahawa ia akan mengkaji bukti baharu mengenai penularan COV-19 melalui udara, susulan sekumpulan saintis antarabangsa menyimpulkan bahawa virus itu boleh merebak lebih daripada dua meter.
Organisasi itu akan mengeluarkan kenyataan dalam beberapa hari, mengumpulkan pengetahuan mengenai bagaimana virus itu dapat disebarkan dan memastikan petunjuknya sesuai dengan bukti.
Garis panduan jarak fizikal sejauh dua meter telah menjadi faktor utama dalam memerangi pandemik COV-19, yang telah membunuh lebih 538,000 orang dan menjangkiti lebih 11.6 juta sejak wabak itu muncul di China pada Disember lalu.
Sekumpulan 239 saintis antarabangsa pada Isnin mendakwa COVID-19 merebak di udara sejauh dua meter.
Apabila orang yang dijangkiti menghembus nafas, mereka mengeluarkan titisan. Titisan yang berukuran di bawah lima mikrometer mampu berada di udara selama beberapa jam dan bergerak hingga puluhan meter, kata mereka.
Ketua Teknikal WHO, Benedetta Allegranzi, memberitahu sidang media maya: “Kami mengakui bahawa ada bukti yang muncul di bidang ini.
“Oleh itu, kami percaya bahawa kami harus terbuka terhadap bukti ini dan memahami implikasinya terhadap kaedah penularan dan juga mengenai langkah berjaga-jaga yang perlu diambil,” katanya.
Ketua Teknikal COV-19 WHO, Maria Van Kerkhove, mengatakan bahawa agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu sedang menghasilkan satu dapatan ilmiah yang menggabungkan penemuan dan pengetahuan mengenai kaedah penularan.
Sementara itu, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus mengatakan bahawa wabak itu tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berkurangan kerana 400,000 kes baharu dilaporkan pada hujung minggu.
Dunia mengambil masa 12 minggu untuk mencapai 400,000 kes COVID-19 pertama.
“Wabak itu semakin cepat dan jelas kita belum mencapai puncak wabak,” kata Tedro
Sumber : BHARIAN ONLINE
Leave a Reply