Ada Rakyat Yang Masih Ada Masalah Kewangan Walaupun Fasa PKPP. Ini Langkah Yang Diambil Oleh AMBANK

AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) hanya akan melanjutkan tempoh moratorium selepas menilainya berdasarkan kes dan memberikannya kepada pelanggan yang amat memerlukan, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sulaiman Mohd Tahir.

“Sebelum COVID-19, kami sudah melaksanakannya mengikut kes dan berdasarkan permintaan pelanggan yang menghadapi masalah pembayaran semula pinjaman mereka,” katanya pada sidang media secara maya bagi mengumumkan keputusan kewangan berakhir 31 Mac 2020.

Langkah AmBank itu juga sejajar dengan kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, semalam yang menegaskan keputusan melanjutkan tempoh moratorium akan bergantung kepada bank tetapi jika dipersetujui, kemudahan itu hanya membabitkan golongan sasar, bukan secara automatik kepada semua seperti sebelum ini.

Sementara itu, kumpulan perbankan terbabit mencatatkan untung bersih RM1.341 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2020, susut 10.9 peratus berbanding RM1.505 bilion tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, pendapatannya meningkat kepada RM9.325 bilion berbanding RM9.120 bilion disokong pertumbuhan kukuh pendapatan faedah bersih (NII) dan pendapatan bukan faedah (NoII).

Berdasarkan prestasi kewangan itu, AmBank Group mengumumkan dividen akhir 7.3 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen keseluruhan bagi tahun kewangan dikaji 13.3 sen.

Mengulas mengenainya, Sulaiman berkata kumpulan perbankan itu memulakan tahun kewangan 2020 secara kukuh dengan mencapai lebih RM1.0 bilion dalam pendapatan teras pada tiga sukuan tahun kewangan dikaji.

Beliau berkata, ia juga mencatatkan NII yang tinggi serta pendapatan dagangan dan yuran yang utuh walaupun prestasi suku terakhir bagi tahun kewangan dikaji terjejas oleh pandemik COVID-19.

Katanya, AmBank Group juga mencatatkan pertumbuhan kukuh dalam segmen dan produk yang disasarkan, sekali gus membuktikan kejayaan pelaksanaan ‘Top 4 Strategy’ yang dilaksanakan kumpulan perbankan itu sejak 2016.

AmBank Group juga, katanya kini mempunyai lembaran imbangan yang kukuh, permodalan yang utuh serta profil kecairan yang pelbagai berbanding empat tahun lalu.

“Kami sangat jelas bahawa kumpulan dalam kedudukan kukuh untuk berdepan ketidaktentuan dan cabaran ekonomi, terutama berikutan pandemik COVID-19.

“Kami kekal komited untuk menyokong warga kami, pelanggan dan komuniti dalam tempoh mencabar yang tidak pernah dihadapi sebelum ini itu,” katanya.

Mengenai prospek tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021, Sulaiman berkata, AmBank Group akan tetap teguh dalam melaksanakan kewaspadaan kredit dan berusaha secara proaktif mencapai pelanggan dalam tempoh sukar itu.

Beliau berkata, penekanan yang lebih besar diberikan kepada pengurusan risiko, ujian tekanan, perancangan modal dan pengurusan kecairan untuk melindungi ketahanan kewangan kumpulan dalam mendepani turun naik tidak menentu pasaran yang tinggi.

Katanya, secara operasi, pihaknya akan meneruskan disiplin kos dan mengutamakan pelaburan serta terus meningkatkan kecekapan operasi melalui penyederhanaan dan automasi.

“Kami menjangkakan pemulihan ekonomi secara beransur-ansur. Bagaimanapun, kami akan berhati-hati terhadap semua aspek risiko dalam jangka pendek,” katanya.

Beliau berkata, AmBank Group menyasarkan pertumbuhan pinjaman tiga hingga empat peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021.

Sasaran itu, tegasnya lebih tinggi berbanding jangkaan purata industri iaitu sekitar 0.4 hingga 2.5 peratus.

Sumber : BHARIAN ONLINE

Be the first to comment on "Ada Rakyat Yang Masih Ada Masalah Kewangan Walaupun Fasa PKPP. Ini Langkah Yang Diambil Oleh AMBANK"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*


Shares