30 Tahun Penantian Berakhir Bila Liverpool Akhirnya Jadi Juara. Gadis Ini Telah Bernazar Jika Liverpool Menang Dan Ini Yang Akan Dia Lakukan

“SAYA nak buat pulut kuning tapi dalam versi merah sempena kejayaan Liverpool muncul juara EPL (Liga Perdana Inggeris)”.

Itu niat peminat tegar Liverpool di Malaysia, Wan Diana Aladad Khan yang mengakui teruja dengan kejayaan anak buah Jurgen Klopp dinobatkan juara EPL musim ini, sekali gus menamatkan penantian 30 tahun kelab itu.

Diana, 30, yang mula ‘jatuh cinta’ dengan The Reds pada 2004 adalah moderator untuk kelab penyokong Liverpool FC Malaysia (LFCM) di mana dia sering diundang sebagai tetamu khas dalam pelbagai program termasuk di kaca televisyen.

Jelas gadis cantik dari Pulau Pinang itu, dia memasang niat sejak tahun lalu lagi untuk bernazar sekiranya Liverpool berjaya menamatkan kejuaraan EPL dan ia ternoktah hasil bantuan Chelsea yang menewaskan Manchester City 2-1 di Stamford Bridge, awal pagi tadi.

PENYOKONG LFCM bergembira selepas Liverpool dinobatkan juara EPL. FOTO ihsan Wan Diana

“Saya memang bernazar nak buat pulut kuning dengan air tangan sendiri dan pulut itu mungkin saya nak tukarkan kepada warna merah sempena warna tema Liverpool.

“Pulut itu saya nak bagi kawan-kawan di pejabat dan akan turut memesan kek empat tingkat untuk majlis itu. Mungkin esok atau lusa saya akan buat kerana semua rakan sekerja tahu termasuk bos yang saya memang peminat fanatik Liverpool.

“Makan dan tidur semuanya Liverpool. Susah saya nak gambarkan perasaan ketika ini sebab dah lama kami penyokong menanti saat ini dan amat istimewa,” katanya yang mengakui meminati penyerang dari Brazil, Roberto Firmino.

Ujarnya lagi, dia pernah tidak makan selama tiga hari disebabkan kelab kesayangannya itu.

Katanya, kekalahan 1-3 kepada Real Madrid dalam final Liga Juara-Juara (UCL) di Kiev, Ukraine dua tahun lalu cukup pahit untuk ditelan namun segala-galanya terubat musim lalu selepas anak didik Klopp menumpaskan Tottenham Hotspur 2-0 di pentas sama.

“Saya pernah tak makan tiga hari sebab Liverpool kalah kepada Real Madrid 2018 lalu. Kawan-kawan semua risaukan saya tapi itulah rasanya bila pasukan kesayangan ditewaskan. Rasa sakit kalah itu lebih pedih daripada putus cinta. Tapi tahun lalu kita berjaya bangkit menang UCL dan juga juara Kelab Dunia,” katanya yang sudah berhabis ribuan ringgit demi mendapatkan pelbagai koleksi pasukan itu.

Sumber : HMETRO ONLINE

Be the first to comment on "30 Tahun Penantian Berakhir Bila Liverpool Akhirnya Jadi Juara. Gadis Ini Telah Bernazar Jika Liverpool Menang Dan Ini Yang Akan Dia Lakukan"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*