Gadis Dan Ibu Saudara Dia Hadapi Detik Cemas Bila 2 Lelaki Warga Emas Ingin Membuka Pintu Kereta Mereka. Rupa Rupanya

SIAPA sahaja yang tidak cuak atau takut apabila kereta mereka cuba ‘diceroboh’ oleh individu yang tidak dikenali?

Apatah lagi apabila keseorangan atau kesemua yang berada di dalam kenderaan ketika itu merupakan wanita.

Namun itulah yang berlaku kepada gadis ini dan ibu saudaranya apabila kereta yang dinaiki mereka cuba ‘diceroboh’ oleh dua orang lelaki warga emas!

Gadis ini malah sempat merakam ‘detik-detik cemas’ tersebut yang berlaku kira-kira hampir dua minit.

Video tersebut kemudian dimuat naik di Twitter oleh seorang rakannya dan menjadi tular.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, gadis bernama Sharifah Hijrah Sayed Zakaria berkata, insiden itu berlaku beberapa hari lalu ketika dia mengikuti dua ibu saudaranya ke pekan Mersing.

“Ibu saudara parking keretanya di hadapan sebuah bank dan dia keluar sebentar kerana ada urusan di bank berkenaan. Saya dan seorang lagi ibu saudara menunggu di dalam kereta.

“Ketika itulah secara tiba-tiba, datang tiga pakcik berdiri di sebelah kereta kami. Salah seorangnya kemudian membuka pintu kereta kami tapi sebab dikunci dari dalam, gagal dibuka.

“Berkali-kali pakcik tu mencuba buka, tapi sambil tu dia bersembang-sembang dengan dua rakannya. Yang lagi seorang juga cuba buka pintu sebelah kiri. Masa itu kami terkejut dan cuak jugalah sebab ini kejadian pertama seperti ini.

“Kemudian nampak dia keluarkan kunci kereta dan menekan alarm. Tiba-tiba bunyi alarm dari kereta depan. Rupa-rupanya mereka salah kereta! Tapi mereka tak sedar lagi hingga ibu saudara saya turunkan tingkap dan beritahu mereka salah kereta,” ceritanya sambil ketawa kecil.

Menurut Sharifah Hijrah, model dan warna kereta milik ibu saudaranya yang sama seperti milik lelaki berkenaan iaitu Perodua Alza berwarna putih, menjadi punca warga emas itu terkeliru.

Kata gadis yang berusia 20 tahun itu lagi, dia sempat merakam beberapa saat terakhir insiden berkenaan memandangkan ia begitu lucu dan menghiburkan.

“Selepas ibu saudara saya beritahu, salah seorang pakcik tu terus sebut Allah sambil tepuk dahi. Itu yang kami ketawa. Mereka pun berlalu pergi ke kereta yang diparkir selang sebuah dari kereta kami,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Sharifah Hijrah menambah dia sama sekali tidak menyangka posting rakannya di Twitter menjadi tular kerana ia hanya bertujuan sekadar suka-suka dan berkongsi momen lucu.

“Banyak komen positif netizen yang kata mereka turut terhibur dengan video berkenaan. Namun ada beberapa komen yang beri peringatan bahawa video itu dibimbangi mengaibkan pakcik-pakcik berkenaan.

“Saya terima teguran yang disampaikan, kerana bimbang ada yang tersinggung. Jadi saya minta rakan padamkan video itu. Malah dia juga ada post permohonan maaf.

“Saya sendiri pun memohon ampun maaf kepada pakcik-pakcik berkenaan dan keluarga mereka. Saya betul-betul maksudkannya kerana bimbang ada yang terasa,” katanya.

Permohonan maaf turut dilakukan oleh rakan Sharifah Hijrah yang memuatnaik video berkenaan di Twitter.

Bagaimanapun tambah gadis ini, selain berkongsi momen lucu, perkongsian video itu juga sebenarnya menghantar mesej penting iaitu orang ramai diingatkan agar sentiasa memastikan kenderaan dikunci untuk mengelakkan kejadian yang tak diingini.

“Macam dalam kes kami, mujurlah hanya tersilap kereta. Penting untuk kita sentiasa beringat dan berwaspada dengan keadaan sekeliling.

“Tinggal sekejap macam mana pun, kalau ada orang dalam kereta, pastikan pintu dikunci. Tambah-tambah lagi kalau ada anak kecil. Penjenayah akan bijak mengambil peluang untuk larikan kereta atau merompak. Kita jadikan kes yang berlaku sebelum-sebelum ini sebagai pengajaran,” katanya mengakhiri bicara.

Sumber : MSTAR ONLINE

Klik sini Untuk Claim Free Shipping Shopee https://shp.ee/d5pvxcf

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*