LEPAS SOLAT ZOHOR, PAKCIK INI BUKA SATU VIDEO DALAM SURAU TAPI BUNYI YANG KELUAR DARI VIDEO BUAT PAKCIK INI MALU BESAR

Perhatian: Kisah ini terjadi sebelum PKP

MALANG nasib seorang tukang cuci lelaki apabila dia terpaksa menahan malu di sebuah surau baru-baru ini.

Semuanya gara-gara dia secara tidak sengaja membuka video yang mengandungi bunyi lucah sejurus selesai menunaikan solat Zohor.

Kisah itu kemudiannya menjadi tular setelah ia dikongsi seorang pelayar Twitter @ibcig yang ingin dikenali sebagai Syed Adam.

Menurut Syed Adam, 24, dia kasihan apabila mengenangkan kejadian melibatkan tukang cuci yang sudah berusia itu.

“Kejadian berlaku di sebuah surau di Kuala Lumpur tempoh hari. Lepas habis solat Zohor, biasalah duduk rehat sekejap.

“Waktu tu ramai yang nak solat. Pakcik tu habis solat, duduk kejap sambil tengok telefon. Saya duduk tepi dia sebab baru sampai.

“Memang terkejut sebab volume telefon pakcik tu kuat. Bila keluar video, dia jadi panik. Saya pula tengah nak ambil wuduk,” ujar Syed Adam kepada mStar.

Memperincikan lagi kejadian itu, Syed Adam berkata, lelaki berkenaan seolah-olah terkejut dan kelu sehingga tidak mampu berbuat apa-apa.

Enggan keadaan terus kecoh, Syed Adam membantu lelaki itu menutup video dengan suara lucah yang terpasang di telefonnya.

“Saya dan kawan dah banyak kali alaminya. Video lain, tapi suara lain. Orang edit letak suara meneran macam buat hubungan seks.

“Semua pakat tengok pakcik tu. Saya sendiri yang perlahankan bunyi telefon dia sebab dia terlalu panik sampai nak nangis.

“Dia cakap, pakcik terbuka video kat Facebook ni. Video orang main gitar tapi keluar suara lucah,” ujar Syed Adam lagi.

Mengakui berang dengan insiden itu, Syed Adam berharap agar tiada lagi perkara sama berlaku selepas ini.

Malah, dia mahu perkongsiannya itu diambil serius oleh masyarakat memandangkan ramai yang sudah terkena seperti tukang cuci itu.

“Rasa nak marah, dah nak masuk tahun 2020 orang masih buat benda tu sebagai prank. Bukan apa, kesian la dekat orang tua, pakcik makcik.

“Kita ingat video apa? Volume pula kuat. Kalau baca komen, ramai yang dah kena. Benda ni tak lawak pun. Memalukan,” ujarnya lagi.

Perkongsian itu sehingga kini menerima lebih 37,000 ulang kicau (Retweet).

Malah, ia turut dihujani pelbagai komen, yang mana ada netizen berkongsi pengalaman serupa.

“Mak saya pernah kena, nasib di rumah dan ada kami berdua je waktu tu. Muka dia dah nak nangis sebab terkejut.

“Kesian weh dengan makcik pakcik yang kena macam ini, timbul salah faham dan fitnah. Nauzubillah.

“Aku penah kena dalam LRT. Kau boleh bayang macam mana aku dalam keadaan tu. Semua orang pandang semacam,” tulis beberapa netizen.

Sumber : MSTAR ONLINE

Be the first to comment on "LEPAS SOLAT ZOHOR, PAKCIK INI BUKA SATU VIDEO DALAM SURAU TAPI BUNYI YANG KELUAR DARI VIDEO BUAT PAKCIK INI MALU BESAR"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*