Tun Mahathir Beritahu Punca Sebenar Kenapa Pakatan Harapan Tumbang Dan Perikatan Nasional Bangkit

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyalahkan ‘parti ditolak rakyat’ berhubung krisis yang menyebabkan Pakatan Harapan (PH) hilang kuasa dan tumbang.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, ketika Malaysia memilih sistem demokrasi, harapan rakyat ialah kerajaan Malaysia akan terdiri oleh mereka yang dipilih oleh rakyat.

Menurutnya, itu yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) apabila kerajaan kleptokrasi dijatuhkan dan parti-parti yang menentang kleptokrasi diangkat oleh rakyat untuk mendiri kerajaan Malaysia.

“Tetapi sekarang kita dapati parti ditolak rakyat berjaya merampas kuasa dan mendiri kerajaan. Ini berlaku kerana parti ditolak rakyat berjaya menakutkan sebilangan dari ahli politik Pakatan Harapan (PH), khususnya ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), bahawa kerajaan PH dikuasai oleh parti DAP dan DAP akan hancurkan orang Melayu. Untuk menghalang dari ini berlaku kerajaan hendaklah terdiri daripada Melayu Islam,” katanya dalam satu kenyataan di blognya hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berikutan itu Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat peluang untuk jadi Perdana Menteri jika Bersatu jatuhkan kerajaan PH dan Bersatu menyertai gabungan baharu bersama parti kleptokrat untuk dirikan kerajaan baru.

Menurutnya, mungkin ada pemimpin Bersatu percaya bahawa DAP boleh hancurkan orang Melayu sehingga mereka sanggup jatuhkan kerajaan PH, tetapi ramai yang nampak peluang daripada penubuhan kerajaan Perikatan Nasional yang belum ada ketika itu untuk jadi menteri, timbalan menteri dan sebagainya.

“Hari ini kita tahu bahawa untuk mendapat sokongan, Muhyiddin menawar jawatan kepada mereka yang lebih utama perolehan untuk diri sendiri dari perjuangan.

“Mereka ini sanggup lupa akan sebab mereka dipilih oleh rakyat. Mereka tidak pun berasa terhutang budi kepada rakyat. Yang mereka nampak ialah peluang dan upah dari tawaran oleh Muhyiddin.

“Untuk ini mereka sanggup bekerjasama dan mendukung kleptokrat yang kononnya mereka benci dahulu,” katanya.

Dakwa Dr Mahathir, dengan tindakan mereka itu ramai dalam kerajaan Muhyiddin terdiri dari perasuah yang utamakan diri sendiri.

Menurutnya, hampir semua yang menganggotai kerajaan Muhyiddin terdiri dari mereka yang utamakan tawaran jawatan dan upah yang lumayan.

“Perjuangan untuk hapuskan kleptokrat dilupakan. Sebaliknya terdapat sokongan oleh mereka untuk bebas kleptokrat yang sekarang menjadi rakan mereka.

“Amat malang bagi rakyat yang telah kalahkan parti kleptokrat, tetapi sekarang sekali lagi mendapat kerajaan kleptokrat melalui pintu belakang.

“Jika Melayu hendak dihancur, kerajaan kleptokrat seperti inilah yang akan hancur mereka. Betapa tidak. Kehendak rakyat mudah digugurkan dan kerajaan pemimpin mereka yang mudah mungkir janji, yang utamakan kepentingan diri, yang mudah terpengaruh jawatan dan upah yang kebanyakan tidak mempunyai kelayakan selain dari menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, kerajaan seperti ini akan rosakkan dan hancurkan negara termasuk orang Melayu.

“Hari ini tokoh-tokoh di antara penyokong Muhyiddin ke sana ke sini untuk menawar jawatan dan wang untuk menambah sokongan. Siapa yang menolak tawaran mereka akan diugut dan didera,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri itu mengucapkan syabas kepada mereka yang berani tolak tawaran Muhyiddin dan sanggup digugurkan dari parti walaupun secara tidak sah dan kehilangan pelbagai peruntukan untuk kawasan.

“Orang seperti ini sahaja yang boleh selamatkan negara dan orang Melayu. Percayalah mereka yang sanggup menjual diri mereka, mereka yang terima ‘cash is king’, mereka akan hancurkan negara bersama orang Melayu. Inilah mereka yang mendiri kerajaan sekarang,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Be the first to comment on "Tun Mahathir Beritahu Punca Sebenar Kenapa Pakatan Harapan Tumbang Dan Perikatan Nasional Bangkit"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*