Lelaki Ini Ceritakan Sebab Utama Kenapa Dia Pacak Batu Nisan Dekat Tengah Jalan

“IDEA itu datang secara spontan sebagai makluman kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi berkaitan untuk mengambil tindakan segera terhadap aduan orang awam,” kata Mohd Safarin Sandy Sanuji.

Mohd Safarin, 40, memberi reaksi itu bagi mengulas tindakannya memacakkan batu nisan di jalan raya berlubang hingga kisah berkenaan tular di laman sosial selepas beberapa gambar berkaitan dimuat naik di laman komuniti Brotherhood Pulau Indah 29.

Gambar dimuat naik menunjukkan Mohd Safarin duduk bersila di hadapan batu nisan dengan mengangkat tangan seperti sedang berdoa.

Menjelaskan perkara berkenaan, Mohd Safarin berkata, tindakannya itu bukan bertujuan untuk mempermainkan batu nisan atau menyentuh sensitiviti sesiapa.

Katanya, sebaliknya ia adalah alternatif untuk mengingatkan PBT supaya bertindak selepas tiada tindakan diambil untuk menyelesaikan masalah jalan berlubang di Persiaran Pelabuhan Barat, Bandar Armada Putra, Pulau Indah, Klang, Selangor.

“Sebenarnya, saya bersama seorang rakan, Imran Imrandin sudah membuat penandaan pertama di lubang berkenaan menggunakan penyembur berwarna putih, 10 Jun lalu.

.JALAN tidak lagi berlubang selepas diturap pagi semalam. FOTO Ihsan Mohd Safarin Sandy Sanuji

“Kami mengambil gambar dan menghantarkannya bersama menerusi aduan yang disampaikan melalui emel kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK).

“MPK membalas kiriman emel itu tetapi tiada tindakan lanjut diambil sedangkan lubang berkenaan ada di jalan utama yang menjadi laluan penduduk pergi dan pulang kerja,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bimbang masalah bertambah serius, Mohd Safarin membuat penandaan kali kedua tetapi dengan menggunakan batu nisan.

“Kebetulan, batu nisan itu memang ada di rumah saya jadi saya bawa ke situ dan memacakkannya di jalan berlubang manakala rakan saya membantu mengambil gambar sebagai simbolik.

“Namun, saya tidak biarkan batu nisan itu di situ sebaliknya membawa pulang kerana niat saya hanya untuk memberi peringatan kepada pihak berkenaan seandainya melihat gambar dimuat naik di laman Brotherhood.

“Alhamdulillah, masalah selesai apabila PBT segera menurap jalan berkenaan, pagi semalam. Saya faham PBT menerima banyak aduan setiap hari tetapi ada kes yang memerlukan tindakan pantas termasuk masalah seperti ini kerana jalan berlubang antara punca kemalangan dan dikhuatiri menyebabkan kematian,” katanya.

Sumber : HMETRO ONLINE

Be the first to comment on "Lelaki Ini Ceritakan Sebab Utama Kenapa Dia Pacak Batu Nisan Dekat Tengah Jalan"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*