Rezeki Nelayan Bila Dapat Ikan Siakap 10.8kg. Ikan Tersebut Dapat Dijual Dengan Harga Lumayan

ALOR GAJAH: Kalau sudah dinamakan rezeki, rawai yang dipasang hanya kira-kira 800 meter dari pantai berjaya memerangkap ikan siakap seberat 10.8 kilogram (kg) di Pantai Sungai Tuang, Masjid Tanah dekat sini.

Itu rezeki nelayan, Mohd Ali Abu Bakar, 50, selepas memasang rawai, iaitu alat menangkap ikan berbentuk 200 mata kail bersama umpan ikan selangat sebelum dilepaskan ke dalam laut.

Mohd Ali tidak menyangka sama sekali, ikan gelama dan duri yang dihajatkan, tetapi yang diperangkap rawai ialah siakap yang amat sukar diperoleh di perairan tepi pantai.

Nelayan yang sudah ke laut sejak berusia 15 tahun itu, berkata dia dan awak-awak, Mohd Amin Fuad Ramli, 24, membuang rawai ke dalam laut di perairan kira-kira 800 meter dari pantai berkenaan jam 6 petang semalam.

“Kami membiarkan rawai itu semalaman dalam laut sebelum menariknya pada jam 7 pagi ini dan ketika menariknya, rawai terasa berat dan saya mula syak memang sudah mengena ikan besar.

“Setiap kali tarik tali rawai, ikan itu menyentap kuat dan saya terpaksa melepaskan sedikit tali rawai supaya tali tangsi tidak putus jika disentap dan saya pun sentap sama,” katanya.

Mohd Ali yang ditemui di pangkalan nelayan Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah dekat sini hari ini, berkata selepas bermain ‘tarik tali’ dengan ikan itu selama kira-kira 10 minit, akhirnya siakap muncul di permukaan laut.

“Saya tidak sangka langsung rawai yang saya buang hanya kira-kira 800 meter dari pantai boleh mengena siakap besar kerana lazimnya, siakap sebesar itu hanya boleh ditangkap di perairan jauh di tengah laut,” katanya.

Dia kemudian menghubungi beberapa rakan yang lazimnya berminat membeli ikan bersaiz besar untuk dijadikan hidangan keluarga.

Apabila naik ke pangkalan, Mohd Ali dan Mohd Amin tersenyum puas berjaya menjual siakap pada harga RM270 kepada seorang rakan.

Sumber : BHARIAN ONLINE

Klik sini Untuk Claim Free Shipping Shopee https://shp.ee/d5pvxcf

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*