Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Diminta Ambil Cuti Sementara. Sebab Kenapa PM Disuruh Ambil Cuti Didedahkan

Perdana menteri Muhyiddin Yassin digesa mengambil cuti sementara menunggu siasatan selesai terhadap rakaman audio yang dikatakan mirip suaranya mencadangkan agihan jawatan kepada ahli parlimen untuk mendapatkan sokongan politik.

Menurut peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, ini untuk mengelak tanggapan negatif terhadap siasatan berkenaan dan bagi memastikan keadilannya.

Dalam kenyataan hari ini, kata Haniff, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus diberi ruang untuk melakukan penyiasatan terhadap kes berkenaan.

“Walau apa sekalipun, pihak berkuasa yang terbabit, iaitu SPRM hendaklah diberi ruang lengkap untuk menyiasat pekara ini, dan mengambil tindakan lanjut terhadap sesiapa yang terlibat melakukan sebarang kesalahan, jika ada, berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan Haniff (gambar, bawah) itu adalah bagi menyokong kenyataan yang pernah dikeluarkan seorang lagi peguam Aidil Khalid bagi menggesa Muhyiddin mengambil cuti berhubung siasatan berkenaan.

Dalam kenyataan Aidil yang dimuat naik di Facebooknya pada 2 Jun lalu, dan disiarkan kemudiannya di Gemilang Daily dua hari kemudiaan, Aidil mengingatkan Muhyiddin bahawa gesaan bercuti itu pernah disuarakan Muhyiddin sendiri terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.

Beliau merujuk kepada kenyataan Muhyiddin pada 2015 yang menggesa Najib bercuti sementara menunggu selesai siasatan kes 1MDB bagi membenarkan siasatan dilakukan secara menyeluruh, meskipun ketika itu Najib belum lagi dituduh di mahkamah.

“Bagi membenarkan proses siasatan berlangsung secara adil dan bebas, Muhyiddin sewajarnya mengambil cuti (garden leave) sehingga siasatan tersebut tamat.

“Hal ini bagi mengelak sebarang persepsi negatif berhubung kendalian siasatan kes tersebut. Keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi ia juga perlu tampak dan ditampilkan.

“[…] Jika Muhyiddin boleh mencadangkan perkara itu kepada Najib, maka ia juga perlu diamal dan dilaksanakan oleh beliau sendiri pada hari ini, memandangkan beliau kini adalah dalam siasatan,” kata Aidil dalam kenyataan tersebut.

Pada 7 Disember 2015, ketika Muhyiddin masih timbalan perdana menteri, beliau dilaporkan menggesa supaya Najib bercuti semasa penyiasatan 1MDB bagi memastikan penyiasatan dapat dilakukan secara “bebas”.

Sementara itu, Aidil dalam kenyataan sama turut berkata keseluruhan ahli kabinet PN juga mungkin perlu bercuti memandangkan turut terlibat dalam transaksi pembahagian jawatan yang dikaitkan dengan Muhyiddin itu.

Pada 1 Jun lalu, sayap pemuda Bersatu dan PH, tanpa wakil PKR, telah membuat laporan SPRM berhubung klip audio mirip suara Muhyiddin yang mencadangkan anggota parlimen Umno ‘dipikat’ dengan jawatan menteri atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk bergabung dengan Bersatu.
Audio berkenaan dibocorkan oleh laman Facebook yang menyokong Dr Mahathir Mohamad dan dikatakan dirakam dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu pada 23 Februari lalu.

Dalam rakaman itu, seorang lelaki yang suaranya menyerupai perdana menteri didengar berkata:

“Kalau dia (ahli parlimen Umno) tahu kerajaan baru nak terbentuk, Umno masuk, ‘why don’t you come in now, why don’t you join us now rather than you join later?’ (Kenapa tak sertai kami sekarang, daripada sertai kemudian?)

“Saya fikir kalau itu kita lakukan, sebahagian besar mungkin tinggalkan Umno (dengan hanya) 10 hingga 20 tinggal Najib (Razak) dan puak-puak dia.

“Lebih-lebih lagi kalau ada jawatan. Tak jadi menteri, jadi chairman of GLC (pengerusi GLC),” kata suara itu.

Mesyuarat Bersatu berlangsung sebelum ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan keluarnya Bersatu daripada PH yang menjadi kerajaan ketika itu serta mendorong kejatuhan kerajaan pimpinan Mahathir.

Sumber : Malaysia Kini

Be the first to comment on "Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Diminta Ambil Cuti Sementara. Sebab Kenapa PM Disuruh Ambil Cuti Didedahkan"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*