
IPOH: “Kata-kata penghargaan Perdana Menteri dalam perutusannya, adalah sesuatu yang besar buat kami yang hanya orang biasa,” kata pasangan YouTuber suami isteri, Sugu Pavithra.
S Pavithra, 28, berkata beliau dan suaminya amat terharu mendengar ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi penghargaan kepada mereka dalam perutusan hari ini.
Katanya, ucapan Perdana Menteri itu juga memberi semangat kepada mereka untuk menapak selangkah lagi dalam usaha membuka kedai makan.
“Terima kasih! Kami berasa sangat bangga dan gembira kerana diberi penghargaan oleh Perdana Menteri dalam perutusan beliau.
“Kami memang ada merancang di masa hadapan untuk membuka kedai makan, tetapi selepas PM mengatakan perkara ini…kami akan berusaha membuka kedai makan suatu hari nanti,” katanya.
Pavithra berkata, mereka pada awalnya hanya merancang membuat video untuk saluran Youtube sahaja tetapi selepas viral hingga mendapat sokongan pemimpin nombor satu negara itu, membuatkan semangat mereka berkobar-kobar.
“Mulanya kami memang hanya merancang membuat saluran YouTube sahaja, tetapi selepas ini mungkin akan memikirkannya dan akan mencuba juga membuka kedai makan.
“Rancangan membuka kedai makan memang ada, tetapi kena tengok dahulu macam mana..mungkin tahun depan,” katanya ketika dihubungi, petang tadi.
Pavithra mengakui, beliau dan suami ketika ini masih lagi cuba menyesuaikan diri dengan perubahan hidup yang diharungi mereka.
“Dalam keadaan sekarang ini, kami masih lagi menyesuaikan diri dengan kesibukan, jadi kami hanya dapat menghasilkan dua video seminggu.
“Ada juga rakan YouTuber dan beberapa pihak yang menghubungi kami untuk menyertai program masakan tetapi buat masa ini kami masih tidak dapat memenuhinya,” katanya.
Berkenaan konsep masakan, Pavithra berkata, buat masa ini dia masih memilih untuk mengekalkan menu tradisi.
“Kami bukan pandai sangat dan kami memasak setakat yang kami tahu sahaja dan kongsikan kepada semua.
“Kami gembira apabila ramai yang memberi komen sudah mencuba masakan kami dan mengatakan menu yang kami kongsi itu sedap, kami jadi lebih bersemangat lagi untuk membuat banyak video,” katanya.
Dalam perutusannya petang tadi, Perdana Menteri meletakkan harapan agar semua pihak termasuk sektor swasta dan orang ramai memainkan peranan sebaik-baiknya dalam memanfaatkan 40 inisiatif yang diumumkan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).
Ketika mengakhiri perutusan itu, Muhyiddin berkata, usaha berkenaan juga diharap memberi manfaat kepada rakyat seperti pasangan Sugu dan Pavithra yang viral di media sosial sejak bulan lalu kerana menu masakan yang dikongsi mereka.
Sebelum ini, Perdana Menteri turut menghantar hadiah berupa tripod untuk meletakkan telefon bimbit ketika melakukan rakaman video serta barangan keperluan harian kepada pasangan itu yang tinggal di sebuah kuarters pekerja ladang.
Sumber : BHARIAN ONLINE
Leave a Reply