Perkhidmatan Gunting Rambut Hanya Dibenarkan Kepada Negeri Ini Sahaja Setakat Ini

PETRA JAYA :Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak membenarkan kedai gunting rambut dan salun rambut beroperasi mulai Selasa depan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, bagaimanapun kebenaran itu hanya untuk menggunting rambut sahaja.

“Prosedur operasi standard (SOP) kedai gunting rambut itu akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.

“Namun, apa yang pasti ialah pemilik kedai harus meminimumkan jarak, tukang gunting harus mengutamakan kesihatan dan memakai pelitup muka serta elakkan batuk atau bersin,” katanya pada sidang media harian perkembangan COV19 Sarawak, hari ini.

Gambar hiasan

Uggah yang juga Pengerusi JPBN berkata, mesyuarat hari ini turut memutuskan untuk membenarkan beberapa taman perlindungan semula jadi di negeri ini untuk dibuka kepada orang ramai.

Taman perlindungan semula jadi yang akan dibuka mulai Isnin depan itu ialah

Samajaya di Kuching, Bukit Lima di Sibu, Bukit Sembiling di Limbang dan Piasau di Miri.

Beliau berkata, Sarawak sedang meneliti untuk membenarkan pergerakan antara bahagian berikutan situasi COVID-19 yang semakin reda.

“Hari ini, Sarawak mencatatkan sifar kes positif baharu COVID-19 untuk hari kelapan berturut-turut dan ia bermakna jika keadaan itu berterusan selama 14 hari, seluruh Sarawak akan dikategorikan sebagai zon hijau.

“Apabila ia berlaku, kita akan mempertimbangkan sama ada meneruskan kawalan pergerakan merentas daerah dan hari ini perkara itu dibincangkan dengan beberapa pilihan dirancang antaranya mungkin mengehadkan kawalan pergerakan merentas bahagian atau kita membuka semua laluan di Sarawak,” katanya.

Bagaimanapun katanya, keputusan itu turut bergantung kepada situasi semasa pandemik COVID-19 di Sabah dan Semenanjung Malaysia.

“Kita jangan mudah lupa, sebahagian besar jangkitan di Sarawak adalah kes import dan kita harus sentiasa berhati-hati serta teliti dalam membuat keputusan berhubung pergerakan merentas bahagian dan daerah.

“Sebab itu, sehingga kini kita masih melaksanakan kuarantin terhadap individu yang datang ke Sarawak,” katanya.

Sumber : BHARIAN ONLINE

Be the first to comment on "Perkhidmatan Gunting Rambut Hanya Dibenarkan Kepada Negeri Ini Sahaja Setakat Ini"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*