Sekolah Akan Dibuka Tidak Lama Lagi Tetapi DG Noor Hisham Beritahu Pelajar Mana Yang Akan Diberi Keutamaan Dahulu

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, semua orang dilarang membuat pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. Segala rumah ibadat dan premis perniagaan ditutup termasuklah sekolah.

Terbaru Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa beliau mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engku Husain, Semenyih, Selangor bersama Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin bagi persediaan pembukaan sekolah pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sekolah bakal dibuka

Keutamaan pembukaan sekolah akan diberikan kepada pelajar Tingkatan 5 dan 6 yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Kami diberi taklimat oleh pengetua sekolah mengenai simulasi pengoperasian pengurusan sekolah pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Langkah pencegahan jangkitan Covid-19 yang akan diamalkan adalah berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Pasca Perintah Kawalan Pergerakan.

Garis panduan yang disediakan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah hasil kerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta membabitkan prosedur mengenai ketibaan murid di sekolah, pergerakan ke bilik darjah, susunan meja dalam bilik darjah, pergerakan di kantin dan pelbagai aspek lain.

Menurut KP Kesihatan lagi, tarikh pembukaan sekolah akan dimaklumkan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum sekolah dibuka berdasarkan nasihat daripada KKM dan situasi semasa jangkitan Covid-19 di Malaysia.

Keutamaan diberikan kepada pelajar yang menduduki peperiksaan

Keutamaan akan diberikan kepada pelajar Tingkatan 5 dan 6 yang akan menduduki peperiksaan SPM, SVM, STPM dan STAM. KKM amat menghargai komitmen yang ditunjukkan barisan tenaga pengajar dan pengurusan sekolah dalam memastikan pematuhan kepada garis panduan yang disediakan.

Terima kasih kepada semua guru di atas dedikasi dan pengorbanan anda dalam mendidik anak-anak kita semua yang adalah aset berharga negara.

Lawatan persediaan pembukaan sekolah pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seolah-olah menguatkan lagi desas desus sesi persekolahan mungkin akan dibuka selepas tempoh PKPB tamat pada 9 Jun nanti.

Sumber : Harian Metro

Be the first to comment on "Sekolah Akan Dibuka Tidak Lama Lagi Tetapi DG Noor Hisham Beritahu Pelajar Mana Yang Akan Diberi Keutamaan Dahulu"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*


Shares