Achey Sedih Kenangkan Arwah Abam Sudah Tiada Raya Tahun Ini. Rupanya Abam Suka Bekalkan Makanan Ini Untuk Achey Dan Fad

“Kami takkan lupakan dia, sentiasa nama dia ada dalam doa kami,” itu kata-kata Achey ketika diminta berkongsi secebis kenangan raya bersama Allahyarham Abam Bocey.

Kata Achey, 33, suasana berbeza tahun ini apabila pagi raya tiada lagi keletah tawa dan bermaafan bersama arwah Abam.

“Biasanya pagi raya kami bertiga akan bervideo call menerusi group WhatsApp dan bermohon maaf semula. Kemudian sebelum masing-masing balik kampung, kami akan berjumpa dan bermaaf-maafan.

“Ketika itulah segala kenangan lucu dan menggembirakan sepanjang setahun kami akan imbas bersama.

“Cuma tahun ini berbeza… sangat berbeza! Ia memberikan satu kesayuan kepada kami yang sangat merindui arwah.

“Lebih meresahkan, kami tak boleh menziarahi pusara arwah. Namun, doa kami tak pernah putus,” kongsi Achey kepada Gempak bersulam sebak.

Tambah Achey, arwah Abam tidak pernah tidak membenarkan dia sekeluarga dan Fad pulang ke kampung halaman masing-masing tanpa buah tangannya.

“Arwah ni suka dan pandai memasak. Setiap kali sebelum saya dan Fad balik kampung dia akan bekalkan makanan antaranya kuih bakar dan lemang.

“Paling tak boleh dilupakan ialah serunding daging. Dia punya tu ‘the best’!” ujarnya.

Malah, kata Achey arwah Abam akan sentiasa bermurah hati menghulurkan ‘duit raya’ kepada kami untuk keluarga.

“Selepas balik beraya di kampung, kami akan berkunjung sesama sendiri dan pernah sampai seharian melepak layan tetamu yang datang ke rumahnya.

“Memang kita saling menyokong sesama sendiri dan ralatnya kita tak dapat buat lagi tahun ini,” cerita Achey lanjut.

Akui sedih dan masih berduka atas pemergian arwah Abam pada Februari lalu, Achey memohon doa dan izin restu orang ramai untuk memaafkan kekhilafan mereka bertiga sepanjang bergelar anak seni.

“Saya mohon maaf andai ada salah silap daripada kami bertiga sama ada nampak atau tidak.

“Teruskan menyokong kami dalam industri dan percayalah, semangat beliau ada pada kami.

“Sedih memang sedih, sama-sama kita titipkan doa buat arwah Abam. Damailah di sana sahabatku,” akhiri Achey.

Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, 32, meninggal dunia di kediamannya di Gombak dipercayai akibat demam panas.

Sumnber : GEMPAK

Be the first to comment on "Achey Sedih Kenangkan Arwah Abam Sudah Tiada Raya Tahun Ini. Rupanya Abam Suka Bekalkan Makanan Ini Untuk Achey Dan Fad"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*