
KUALA LUMPUR: Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Jalan Duta di sini, mengalami kesesakan susulan orang ramai mengambil kesempatan kebenaran diberi untuk meraikan Aidilfitri dengan aktiviti ziarah, hari ini.
Pegawai Turus Operasi Zon Tengah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Asisten Superintendan Nasyrul Ridzuan Abdul Razak, berkata bilangan kenderaan mulai meningkat kira-kira jam 10 pagi apabila ramai membuat perjalanan keluar dari ibu negara ke arah Klang dan utara.
“Melalui pemantauan bermula jam 7 pagi, aliran lalu lintas awalnya berada pada skala 1 dan 2 iaitu bergerak lancar.
“Bagaimanapun, keadaan berubah sekitar jam 10 pagi apabila trend lalu lintas bertukar ke skala 3 dan 4 apabila jumlah kenderaan mula meningkat sehingga berlaku kesesakan.
“Setakat jam 3 petang tadi, kesesakan masih berlaku dan dijangka berlarutan sehingga tengah malam ini,” katanya kepada BH di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya meningkatkan kekuatan anggota dengan meminta bantuan anggota ‘Jammed Squad’ JSPT Bukit Aman untuk membuat pemantauan dan menyuraikan kesesakan.
“Seramai 31 anggota PDRM bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertugas di SJR ini secara 24 jam dengan kekuatan semasa 14 anggota PDRM termasuk dua pegawai, ATM (tiga), bomba (tujuh) dan Angkatan Pertahanan Awam (empat).
ANGGOTA polis dan tentera menjalankan Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Jalan Duta. – Foto Aswadi Alias
“Kita akan melakukan pemeriksaan di sini sebagai lapisan pertama SJR bagi memastikan tiada pihak cuba merentas negeri tanpa kebenaran dan lapisan kedua SJR di Kilometer 401 Lebuhraya Utara Selatan di Plaza Tol Tanjung Malim, iaitu sempadan Selangor/Perak,” katanya.
Nasyrul Ridzuan berkata, empat warga Bangladesh yang menaiki sebuah kenderaan ditahan hari ini kerana cuba merentas negeri untuk ke Pulau Pinang dengan alasan ingin bekerja di sana.
Katanya, mereka diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk tindakan lanjut.
“Selain itu, seramai 21 orang ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan cuba merentas negeri dan atas pelbagai kesalahan lain sejak PKP dilaksanakan 18 Mac lalu.
“Penumpang bas ekspres juga antara yang ditahan kerana cuba merentas negeri, mereka sangka kita tidak memeriksa pengangkutan awam.
“Pelbagai cara dilakukan pesalah termasuk ada yang ditahan merentas negeri dengan bersembunyi dalam lori membawa barangan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, jumlah yang ditahan adalah kecil berbanding bilangan kenderaan diperiksa yang menunjukkan 99 peratus warga kota dan pengguna laluan di Plaza Tol Jalan Duta mematuhi PKP dan PKPB.
Sementara itu, pemantauan BH di lokasi SJR Plaza Tol Jalan Duta petang tadi mendapati kesesakan hampir 500 meter berlaku di empat lorong ke arah plaza tol berkenaan.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Azisman Alias yang dihubungi BH, memaklumkan lalu lintas memang agak tinggi tetapi pergerakan kenderaan adalah sederhana.
“Tiada yang ketara berhubung kegiatan rentas negeri,” katanya.
Sumber : BHARIAN ONLINE
Leave a Reply