Baju Melayu Poket Terbalik, Lelaki Ini Dedahkan Siapa Tukang Jahit Yang Buat Baju Melayu Dia Untuk Hari Raya

LAZIMNYA, baju Melayu dijahit dengan tiga poket di bahagian hadapan, namun lain pula kisahnya dengan baju bapa tiga anak, Hamzah Alek, 36, kerana dua daripada tiga poketnya terletak di bahagian belakang.

Kisah Hamzah mendapat perhatian warganet selepas berkongsi gambarnya memakai pakaian berkenaan menerusi hantaran di Facebook (FB) miliknya, pagi semalam.

Hantaran itu dikongsi hampir 2,000 warganet dengan rata-ratanya terhibur dan ada juga bersimpati dengan nasib Hamzah.

Menceritakan perkara sebenar, Hamzah yang menetap di Kampung Belunge, Lundu, Sarawak berkata, baju Melayu itu dijahit ibunya, Saliah Koden, 57.

Katanya, dia sendiri terkejut melihat hasilnya selepas diserahkan ibunya, pagi semalam.

“Minggu lalu, saya dan isteri ke pusat bandar dan membeli kain di sebuah gedung untuk dibuat baju sempena hari raya nanti. Saya kemudian hantar kain kepada ibu untuk dijahit.

“Namun, kami sekeluarga tergelak melihat hasil baju yang siap apabila dua poket dijahit di bahagian belakang, bukan hadapan seperti kebiasaannya. Hanya baju saya bermasalah tetapi pakaian anak sempurna,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

TUKANG JAHIT ADALAH IBUNYA SENDIRI

Menurut Hamzah, niatnya memuat naik gambar berkenaan di FB sekadar untuk simpanan di laman sosial saja.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak sangka gambar itu tular dengan pantas dalam tempoh kurang sehari sahaja.

“Isteri yang mengambil gambar itu dan saya pula muat naiknya di FB untuk suka-suka saja.

“Tak sangka pula, banyak komen yang diterima hingga gambar itu jadi tular apabila warganet berkongsi hantaran saya.

“Saya tiada niat mengaibkan sesiapa kerana menganggap perkongsian berkenaan sekadar hiburan, lagipun tukang jahit itu adalah ibu saya sendiri.

“Menurut ibu, kesilapan itu berlaku kerana terlalu banyak berfikir memandangkan banyak tempahan diterima. Jahitan yang silap itu juga sudah dibaiki dan diharap tiada yang salah faham hingga menyalahkan tukang jahit lain,” katanya.

Sumber : HMETRO ONLINE

Be the first to comment on "Baju Melayu Poket Terbalik, Lelaki Ini Dedahkan Siapa Tukang Jahit Yang Buat Baju Melayu Dia Untuk Hari Raya"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*