Dimanakah Tun Mahathir Duduk Di Dalam Dewan Rakyat

Sidang Dewan Rakyat hari ini menyaksikan seramai 114 ahli parlimen duduk di blok kerajaan sekali gus memberi gambaran bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Mengikut cadangan tempat duduk Dewan Rakyat yang dikeluarkan hari ini menunjukkan bahawa seramai 114 ahli parlimen duduk di blok kerajaan.

Seramai 107 ahli parlimen termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad duduk di blok pembangkang.

Bekas Menteri Kerja Raya Baru Bian juga duduk di blok pembangkang sebagai ahli parlimen Bebas.

DR Mahathir hadir pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO Bernama

Sidang Dewan Rakyat hanya diadakan untuk satu hari akan menyaksikan majlis pembukaan mesyuarat pertama penggal ketiga parlimen ke-14 itu hanya berlangsung seketika.

Daripada sehari, ia dipendekkan untuk mendengar titah diraja Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ahmad Shah sahaja.

Sidang hari ini menarik perhatian ramai kerana ini merupakan yang pertama sejak Langkah Sheraton berlangsung dan menyaksikan kemunculan Perikatan Nasional – sebuah gabungan tidak berdaftar – menggantikan Pakatan Harapan sebagai kerajaan.

Sidang pertama ini sepatutnya diadakan antara 9 Mac hingga 16 April lalu tetapi ditangguhkan kerana negara berdepan ancaman wabak Covid-19.

Sementara itu, Mahathir yang juga ahli parlimen Langkawi dilihat berada dalam blok pembangkang.

Difahamkam sebanyak lima ahli parlimen Bersatu termasuk Mahathir memilih untuk berada di blok pembangkang walaupun Bersatu menjadi tulang belakang kerajaan Perikatan Nasional.

Di blok pembangkang, ahli parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim dipilih sebagai ketua pembangkang.

Beliau duduk di barisan depan, diikuti ahli parlimen Kota Raja Mohamad Sabu, ahli parlimen Bagan Lim Guan Eng, Dr Wan Azizah Wan Ismail dari parlimen Pandan, Lim Kit Siang, wakil rakyat Iskandar Puteri, Muhamad Yusof Rawa dari Parit Buntar dan Mahathir.

Sumber : Malaysia Kini

Be the first to comment on "Dimanakah Tun Mahathir Duduk Di Dalam Dewan Rakyat"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*