Bintang Air Mata, Wan Maimunah Beritahu Dia Bukan Menangis Suka Suka

Dikenali bintang air mata, Wan Maimunah, 67, bukannya sengaja menangis atau menunjuk perasaan sebak di depan khalayak ramai.

Sudah menjadi kurniaan Tuhan, air mata Wan Maimunah mudah menitis tanpa dipaksa atau dibuat-buat, lebih lagi saat berdepan dengan kemelut hidup.

Begitu juga ketika menghayati watak wanita teraniaya atau psiko yang sering dilakonkannya. Nampak seperti `happy go lucky’, nyata pelakon yang menempa nama menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu adalah insan yang sensitif dan mudah tersentuh.

Pemilik nama Wan Maimunah Wan Abdul Aziz itu berkata, dia sedih hingga jatuh sakit apabila videonya menerima sumbangan sambil menangis menjadi tular, baru-baru ini.

“Saya tahu ramai peminat sayangkan saya. Melihat saya menangis sambil menerima sumbangan, mereka beranggapan saya dipinggirkan. Sedangkan, saya menangis bukan tiada siapa menghulurkan bantuan atau menjenguk saya.

“Saya terharu menerima kunjungan Ustaz Sheikh Mohammad dan beberapa ustaz muda di kediaman anak angkat di Kota Puteri, Batu Arang, Selangor. Mereka sanggup menghantar bantuan biarpun saya duduk jauh.

Wan Maimunah mudah menitis tanpa dipaksa atau dibuat-buat, lebih lagi saat berdepan dengan kemelut hidup. - Foto Wan Maimunah

“Itu yang membuatkan saya sebak dan mengalirkan air mata. Bagaimanapun, netizen tersalah anggap, mereka mengecam Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) terutama presidennya, Zed Zaidi dengan teruk. Saya sedih hingga tak terkata,” katanya kepada BH Online.

Pelakon yang pernah lima kali diangkat sebagai Artis Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) sejak 1992 itu berkata, fikirannya runsing hingga badan menjadi lemah dan tak boleh bangun apabila membaca hentaman netizen terhadap SENIMAN.

“Saya amat sedih, nak bangun pun tak berdaya dan kena pegang dinding terlebih dahulu. Netizen hentam SENIMAN kerana saya. Tentunya, saya rasa bersalah. Sedangkan SENIMAN antara persatuan terawal yang menghulurkan bantuan kepada saya.

“Wakil SENIMAN sanggup hantar bantuan ketika saya tinggal di Melaka dahulu. Begitu juga Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) dan Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), mereka tak pernah abaikan saya,” katanya dengan suara tersekat-sekat.

Wanita kelahiran Tebrau, Johor itu berkata, ramai yang menghubungi, malah ada anak angkat yang 10 tahun tidak bertemu berusaha mencarinya untuk memberikan sumbangan berikutan video yang tular itu.

“Ada yang anggap saya sakit, tetapi Alhamdulillah, saya masih sihat. Cuma kesihatan agak terjejas apabila runsing dengan isu yang ditimbulkan netizen.

“Saya terfikir apa agaknya anggapan Zed dan persatuan lain terhadap saya apabila netizen menyalahkan mereka. Saya malu dan bimbang mereka terasa hati.

“Kesihatan saya terjejas berhari-hari, langsung tiada selera nak makan. Hanya minum air kosong,” katanya.

Pelakon yang membintangi lebih 1,000 drama sejak 1984 itu berkata, dia bersyukur rezekinya sentiasa mencukupi, malah ada kala sumbangan diberikan dihulurkan kepada keluarga lain yang memerlukan.

“Saya menumpang di rumah anak angkat, apa sangat belanja yang diperlukan. Lebih lagi, ada sahaja bantuan keperluan asas dihulurkan. Apabila mendengar jiran tetangga dalam kesusahan, saya panjang sedekah yang diberikan.

“Tak salah rasanya saya berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.

“Pernah juga saya menolak sumbangan yang dihulurkan. Bukannya sombong, saya pun hidup susah, tetapi saya percaya ada yang lebih susah daripada saya. Mereka lagi layak menerima bantuan,” katanya.

Wan Maimunah berkata, dia berharap netizen tidak tersalah anggap apabila melihatnya menitiskan air mata atau sebak.

“Kalaulah ada suis boleh hentikan air mata, sudah lama saya tutup. Saya pun tak suka nak tunjuk kesedihan depan orang ramai, tetapi sudah begitu sifat yang dikurniakan kepada saya.

“Saya tak mampu nak ubah sifat yang Allah beri. Cuma, saya tak mahu disebabkan sering mengalirkan air mata, ia menjadi fitnah dan tohmahan terhadap orang lain yang pernah berjasa dengan saya,” katanya.

Sumber : BHARIAN ONLINE

Be the first to comment on "Bintang Air Mata, Wan Maimunah Beritahu Dia Bukan Menangis Suka Suka"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*