Dia Nekad Untuk Mencari Ibu Kandung Yang Telah Lama Terpisah Tetapi Banyak Dugaan Yang Melanda Dia, Anak Dan Isteri

TIGA beranak merayu bantuan orang ramai selepas kehilangan tempat berteduh dan kini berada di sekitar Terminal Larkin, Johor Bahru.

Mohamad Affandi Mohamed Jufri, 31, bersama isteri, Siti Hajar Mohd Sharom, 25, dan anak tunggal mereka, Muhammad Haziq Hakimi, 5, sebelum ini keluar dari rumah keluarga mereka di Felda Papan Timur, Kota Tinggi, Januari lalu akibat masalah keluarga.

Mohamad Affandi yang sebelum ini bekerja sebagai tukang rumput di KD Sultan Ismail, Tanjung Pengelih, Pengerang berkata, selepas insiden berkenaan, mereka tiga beranak tinggal sementara di bilik sewa di Larkin sebelum ke Kuantan, Pahang, awal Februari lalu untuk mencari ibu kandungnya yang terpisah sejak lahir berbekalkan wang simpanan sebanyak RM1,000.

Menurutnya, dia mendapat bantuan dari seorang kenalan Facebook (FB) yang menawarkan diri untuk membantu dan sudi menumpangkan mereka tinggal di rumah mereka di Jerantut, Pahang.

Bagaimanapun, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan dia tidak dapat meneruskan pencarian ibu kandung di Kuantan hingga terpaksa menumpang lebih lama di rumah kenalannya iaitu dalam tempoh hampir dua bulan.

“Disebabkan terlalu lama menumpang di rumah mereka, saya jadi serba salah dan mengambil keputusan membawa isteri dan anak keluar.

“Pada waktu itu, adik kenalan yang membantu menghantar kami bertiga ke terminal bas di Jengka dan berada di bandar pusat itu hampir dua minggu dengan tumpang di premis sekitarnya.

“Disebabkan wang yang ada tidak banyak, kami bertiga berjalan ke Kuantan dan dalam perjalanan, ada hamba Allah membantu menumpangkan kami menaiki keretanya serta bermalam di rumahnya di Sungai Soi (Kuantan),” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohamad Affandi berkata, ketika di Kuantan, dia cuba ke rumah ibunya di Taman Seri Mahkota berdasarkan alamat diberi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Namun, usahanya tidak berhasil apabila rumah berkenaan kosong tanpa penghuni dan jiran terdekat juga tiada maklumat yang boleh membantu.

“Memang sedih kerana tidak dapat bertemu dengan emak tetapi saya reda dan bersyukur kerana ada yang sudi membantu termasuk pihak polis hingga saya, isteri dan anak selamat tiba di Johor Bahru, kelmarin menaiki kereta api dari Segamat.

“Setibanya di Terminal Larkin, saya ke bilik sewa pernah didiami sebelum ini yang terletak di kawasan berhampiran tetapi bangunan itu sudah dikosongkan dan mujurlah ada rakan mempelawa tumpang bermalam di rumahnya untuk semalam.

“Berbekalkan wang simpanan yang ada, saya bawa anak dan isteri bermalam di sebuah hotel di pusat bandar semalam dan keluar, pagi tadi.

“Kini, kami bertiga duduk berhampiran kawasan terminal kerana tidak tahu hendak ke mana dan berharap ada pihak sudi membantu walaupun hanya dengan menyediakan bilik sewa kerana saya risaukan keselamatan anak serta isteri jika bermalam di kaki lima,” katanya.

Terdahulu, kisah Mohamad Affandi dan dua anaknya dikongsikan bekas tentera, Zamri Osman, 38 menerusi FBnya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghubungi Mohamad Affandi di talian 0187906149.

Be the first to comment on "Dia Nekad Untuk Mencari Ibu Kandung Yang Telah Lama Terpisah Tetapi Banyak Dugaan Yang Melanda Dia, Anak Dan Isteri"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*