Sejam Setengah Bertarung Untuk Mendaratkan Seekor Ikan Pari Seberat 280KG

Empat nelayan tempatan mengambil masa sejam setengah untuk menaikkan ikan pari daun seberat 280 kilogram dengan lebar empat meter di Muara Sungai Lundu di sini, petang semalam.

Nelayan Azeri Hipni, 42, dari Kampung Stunggang Lundu, dekat sini, ketika dihubungi Suara Sarawak berkata, dia dan tiga rakannya memasang pukat di sungai berkenaan awal pagi semalam sebelum menjerat pari gergasi.

Pari daun seberat 280 kilogram yang berjaya ditangkap empat sekawan di Muara Sungai Lundu. – Foto ihsan Suara Sarawak

“Kami mengambil masa sejam setengah bertarung dengan pari berkenaan dan akhirnya ia tewas sebelum dibawa ke Jeti Nelayan Lundu.

“Kami biasa mendapat ikan pari bersaiz besar, tetapi ini kali pertama pari gergasi yang menyamai berat badan lima orang dewasa itu terjerat dalam pukat kami,” katanya.

Azeri mengakui mereka kepenatan ketika mendaratkan ikan bersaiz besar itu, tetapi seronok kerana ia dianggap rezeki yang tidak diduga pada Ramadan.

Lundu yang kira-kira 80 minit perjalanan darat dari pusat bandar Kuching dihuni sekitar 36,000 penduduk.

Daerah ini antara paling indah di Sarawak dengan kehadiran gunung-ganang yang hijau, air terjun, pantai yang indah, air laut jernih dan biru, serta pulau kecil di sepanjang pesisiran pantainya.

Bagaimanapun, sejarah asal usul nama Lundu tidaklah begitu jelas. Ramai percaya daerah ini mendapat nama dari Sungai Lundu yang terdapatnya ikan lundu atau nama saintifiknya mystus nigriceps.

Batang Kayan adalah sungai terbesar di Lundu, tetapi tiada bukti bahawa kaum Kayan menetap di daerah itu. Sungai Lundu mengalir dari kawasan pergunungan Gading ke Batang Kayan.

Be the first to comment on "Sejam Setengah Bertarung Untuk Mendaratkan Seekor Ikan Pari Seberat 280KG"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*